Mohd Fadly Samsudin
fadly@hmetro.com.my

Petaling Jaya: Sanggup mengumpul ‘koleksi’ saman daripada berusaha memperoleh lesen sah.

Itu antara sikap segelintir individu disebabkan sebelum ini pernah beberapa kali gagal dalam ujian pada peringkat awal ketika proses mendapatkan lesen.

Ia berikutan kegagalan mereka terutama dalam ujian teori undang-undang berkomputer menyebabkan mereka berputus asa dan tidak lagi meneruskan usaha menduduki ujian ulangan bagi memperbaiki keputusan.

Syarat lulus bagi melayakkan seorang itu menduduki kelas mendapatkan lesen L, perlu mencapai markah minimum 42 daripada 50 soalan dikemukakan.

Di situlah perlunya kesabaran, penelitian dan juga persediaan sebelum menjawab soalan objektif berkaitan undang-undang jalan raya yang dikemukakan.

Bagi setengah individu, ujian berkenaan diambil sambil lewa tanpa membuat persediaan rapi menyebab­kan mereka gagal memper­oleh keputusan atau markah yang baik.

Selebihnya, calon perlu menghadiri Kursus Pendidikan Pemandu selama lima jam yang diadakan paling awal sebelum menduduki ujian berkomputer selain kursus teori dan amali ­Pra L, ujian prakelayakan dan akhir sekali menghadapi ujian praktikal dikendalikan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Bagaimanapun, ramai yang tidak tahu, sekiranya seorang itu gagal sebanyak tiga kali ujian undang-undang berkomputer mereka boleh memohon untuk menjalani ujian secara manual.

Meneruskan pemanduan tanpa memiliki lesen sah diibaratkan sebagai ancaman terhadap pengguna jalan raya lain.

Dalam satu operasi yang dijalankan JPJ Selangor baru-baru ini, seorang lelaki mendakwa dia sudah beberapa kali ditahan serta disaman akibat tidak mempunyai lesen.

Menurut lelaki berusia 20-an itu, dia sudah lima tahun menunggang motosikal tanpa lesen untuk berulang-alik setiap hari ke tempat kerja.

Sepanjang tempoh itu, dia masih gagal mendapatkan lesen memandu kerana memberi alasan tidak mempunyai masa kerana terikat dengan kesibukan kerja.

Tindakan memandu tanpa lesen sebenarnya merugikan diri sendiri kerana sekiranya berlaku kemalangan sehingga menyebabkan kecederaan atau kematian ke atas orang lain mereka akan didakwa di mahkamah.

Pengarah JPJ Selangor Nazli Md Taib berkata, kesalahan tiada lesen memandu dalam kalangan pengguna jalan raya memang menjadi dilema kerana jumlah kesalahan itu antara terbesar dicatatkan setiap kali operasi dijalankan.

Menurutnya, pengguna jalan raya yang tidak mempunyai lesen memandu sah pasti tidak faham undang-undang yang berkuatkuasa.

“Apabila mereka memandu dalam keadaan tidak mempunyai ilmu, peluang untuk terbabit atau menyebabkan kemalangan kepada pemandu lain adalah tinggi.

“Membiarkan diri tanpa mengambil lesen bukan saja melanggar undang-undang tetapi tiada jaminan keselamatan sekiranya berlaku kemalangan,” katanya.

Nazli berkata, jika seseorang itu mengikuti kursus mendapatkan lesen memandu, segala aspek akan diuji termasuk ujian buta warna.

“Malah, ada yang memberi alasan kos untuk mendapatkan lesen agak mahal. Bagaimanapun, JPJ sudah menetapkan harga siling bagi mendapatkan lesen motosikal atau kereta.

“Ini termasuk memperkenalkan program myLESEN dengan tawaran harga serendah RM299 membolehkan orang ramai memperoleh lesen memandu yang sah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Julai 2016 @ 5:26 AM