BOT yang membawa PATI ditahan PPM di perairan Sungai Batu 2, Sandakan.
19,000 biji telur penyu bernilai RM30,000 yang dibawa masuk ke Malaysia.
Hazsyah Abdul Rahman
hmkk@hmetro.com.my

Sandakan: Pasukan Polis Marin (PPM) menahan empat juragan selain merampas 19,000 telur penyu bernilai lebih RM30,000 yang cuba diseludup ke negeri ini di perairan Sungai Batu 2 di sini, jam 1.45 pagi semalam.

Selain itu, PPM turut menahan tiga pendatang asing tanpa izin (PATI) yang menaiki bot berkenaan untuk masuk secara haram ke negeri ini.

Komander PPM Wilayah 4 Asisten Komisioner Mohamad Madun berkata, pihaknya mengejar bot terbabit 15 minit selepas keempat-empatnya memecut apabila diarahkan berhenti untuk pemeriksaan.

“Selepas ditahan, kami melakukan pemeriksaan dan menemui telur penyu dalam guni di bot terbabit. Selain itu, kami mendapati tiga warga asing yang juga penumpang bot terbabit tidak memiliki dokumen perjalanan diri sah dan cuba masuk ke negara ini secara haram.

“Empat juragan serta tiga warga asing terbabit ditahan bagi membantu siasatan,” katanya.

Menurut Mohamad, pihaknya merampas enjin serta bot terbabit dan anggaran keseluruhan rampasan lebih RM41,000.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Julai 2016 @ 5:09 AM