FOTO Alalam.ir
myMetro

Kuala Lumpur: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyekat 27 laman web dan 54 pautan URL dalam bahasa Melayu dan Inggeris menyebarkan ideologi Daish, kata Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

Menteri Komunikasi dan Multimedia itu berkata, pihak berkuasa juga sudah menghubungi penyedia platform media sosial yang lain untuk mendapatkan kerjasama dalam mengeluarkan beberapa akaun berkait dengan ekstremisme.

“SKMM menghubungi YouTube, Twitter dan Facebook untuk mendapatkan kerjasama mengeluarkan satu akaun Twitter, tiga akaun Facebook dan enam saluran YouTube dengan 20 video atas alasan sama,” katanya.

Salleh berkata, SKMM mengambil langkah proaktif bukan hanya untuk mengenal pasti dan menyekat akses kepada outlet media dalam talian yang menyebarkan propaganda pengganas, tetapi mengenal pasti individu menyokong ideologi itu.

“Maklumat diperoleh menerusi pemantauan SKMM ke atas media sosial memudahkan proses mengenal pasti mereka yang didapati menyokong, simpati atau terlibat dalam penyebaran ideologi untuk tindakan selanjutnya oleh polis,” tambahnya.

Kelmarin, SKMM dilaporkan menyekat 11 laman web dan 22 pautan URL dalam bahasa Melayu terlibat dalam penyebaran ideologi Daish.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Julai 2016 @ 5:54 AM