PESERTA ekspedisi mendaki Gunung Stok Kangri bersedia memulakan pendakian.
Hafiz Ithnin melaporkan dari Ladakh dan India.

Penerbangan selama sejam dari New Delhi ke Ladakh, India mengundang rasa kurang selesa peserta Ekspedisi Mendaki Gunung Stok Kangri, 6,125 meter anjuran Kelab Jelajah Alpine-Malaysia (KJA-M) kerana perlu menyesuaikan diri secara mendadak pada altitud tinggi.

Kumpulan ekspedisi 13 orang termasuk penulis diketuai Muhamad Ilaham Ishak, 40, selamat mendarat di Lapangan Terbang Kushok Bakula Rimpoche, Ladakh, pada ketinggian sekitar 3,500 meter yang memerlukan masa untuk setiap peserta menyesuaikan diri.

Secara ringkasnya, pendakian ke gunung tertinggi di Banjaran Stok itu adalah aktiviti yang dilaksanakan KJA-M dalam misi ‘Climb for Peace - Water for Syria’ dalam usaha mencari dana untuk membina perigi di Syria.

Penyebaran maklumat kepada orang ramai tidak kira di Malaysia atau masyarakat antarabangsa untuk membantu penduduk Syria membina perigi bagi mendapatkan sumber air bersih.

Kempen mempromosikan agenda kemanusiaan antarabangsa itu dilaksanakan KJA-M di pelbagai destinasi pendakian antarabangsa terutama gunung yang menjadi tumpuan pendaki menjalankan aktiviti latihan bagi gunung beraltitud tinggi seperti di Stok Kangri.

Ilaham berkata, misi ‘Climb for Peace - Water for Syria’ mendapat sokongan daripada Aman Palestin Berhad (Aman Palestin). Setiap kutipan dana daripada semua aktiviti kempen dalam pendakian itu akan disalurkan terus ke dalam akaun Aman Palestin, Maybank Aman Palestin 562263010787.

“Bagaimanapun, kos pendakian ini langsung tidak membabitkan sumbangan dana orang ramai dalam kempen ini kerana setiap pendaki menanggung sendiri kos perbelanjaan masing-masing.

“Setakat ini, kami menjalankan kempen di Gunung Kilimanjaro, Afrika dan kini di India iaitu Gunung Stok Kangri sebelum meneruskan ekspedisi di Gunung Aconcagua di Argentina.

“Di Malaysia, kami bekerjasama dengan kumpulan pendaki tempatan untuk turut sama membawa kain rentang kempen ini di dalam setiap aktiviti pendakian di Malaysia dan luar negara,” katanya.

Mengenai pendakian ke Stok Kangri, penulis bersama 12 peserta masing-masing mempunyai pelbagai latar belakang pekerjaan profesional termasuk doktor, jurutera, ahli bomba dan kontraktor yang menjalani aktiviti penyesuaian badan di kawasan beraltitud tinggi yang memerlukan dua hari bagi tujuan itu di Leh.

Dalam tempoh dua hari itu, peserta dilihat menyesuaikan diri dengan altitud ketinggian semasa iaitu 3,500 meter sebelum memulakan pendakian kelmarin bermula di Leh sehingga ke Rumbak berketinggian 4,000 meter.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Julai 2016 @ 5:41 AM