DR Subramaniam
myMetro

Putrajaya: Kerajaan berpendirian teguh untuk memastikan negara ini komited dalam menangani dan mengakhiri wabak HIV dan AIDS menjelang 2030 selaras dengan deklarasi yang dibawa Mesyuarat Peringkat Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Mengenai AIDS.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S Subramaniam berkata, sehingga kini negara mencapai penurunan kes baharu HIV mengikut sasaran ditetapkan malah mencapai tahap yang lebih baik dengan nisbah 10.9 daripada 100,000 penduduk.

“Bagaimanapun, penyebaran secara heteroseksual menerusi pekerja seks wanita adalah penyebab utama jangkitan baharu HIV di negara ketika ini dan bukan lagi perkongsian jarum suntikan oleh penagih dadah.

“Malah penyebaran secara heteroseksual juga mencatatkan peningkatan sebanyak 70 peratus dan berada pada tahap yang membimbangkan serta perlu ditangani dengan sebaiknya,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Katanya, pihaknya juga memberi tumpuan terhadap usaha pengurangan serta pencegahan kepada beberapa golongan lain yang berisiko tinggi sebagai penyebar HIV.

Dr Subramaniam berkata, golongan itu termasuk penagih dadah berkongsi suntikan yang dianggarkan seramai 170,000 orang, transgender (20,000 orang) dan pengamal seks sejenis atau gay sebanyak 170,000 orang.

“Kita juga memperluaskan pusat ujian saringan HIV di dalam komuniti iaitu di mana 20 pusat ujian akan dibuka tahun ini melalui kerjasama badan bukan kerajaan (NGO),” katanya.

Menurutnya, kementerian turut memperluaskan kebolehcapaian ujian saringan HIV di Klinik 1Malaysia di samping klinik kesihatan dan hospital sedia ada bagi memudahkan orang ramai mendapatkan kemudahan berkenaan.

“Tiga inisiatif utama bagi negara mencapai sasaran mengakhiri AIDS ialah uji dan rawat; meningkatkan lagi program pencegahan dalam kalangan golongan sasar dan meningkatkan akses kepada rawatan.

“Kita perlu meneruskan usaha untuk memastikan wabak HIV dan AIDS menurun secara berterusan setiap tahun dan mampu menamatkan penyebaran wabak ini di dalam negara menjelang 2030,”katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Julai 2016 @ 9:24 AM