KEMATIAN babit pelbagai haiwan liar termasuk tapir.
Mohd Husni Mohd Noor
mhusni@hmetro.com.my

Putrajaya: Sebanyak 1,914 pelbagai spesies hidupan liar mati dilanggar kenderaan dari 2011 hingga Jun lalu membabitkan musang, babi hutan, kucing batu dan tapir.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, spesies hidupan liar dalam kumpulan mamalia adalah spesies terbanyak mati dilanggar iaitu 1,110 ekor.

Beliau berkata, spesies dilindungi itu direkodkan mati dilanggar di jalan persekutuan, jalan negeri dan lebuh raya membabitkan kira-kira 61 jaringan jalan raya dan lebuh raya di seluruh negara.

“Konflik manusia dan hidupan liar ini boleh dielakkan sekiranya pengusaha projek pembangunan dan utiliti mempunyai tahap keprihatinan yang tinggi mengenai kepentingan hidupan liar dan konsep konservasi serta perlindungan hidupan liar.

“Kita perlu memahami hidupan liar bergantung sepenuhnya kepada kita untuk melindungi mereka dan hidupan liar juga mempunyai hak seperti kita untuk hidup di bumi ini,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Beliau berharap pihak bertanggungjawab bagi pembangunan dan pembinaan jalan raya untuk mengelakkan pembinaan lebuh raya atau jalan raya daripada merentasi kawasan berhutan dan membina struktur lintasan hidupan liar ‘animal viaduct’ atau terowong dan lintasan hidupan liar pada jajaran lebuh raya.

Berhubung kejadian seekor tapir mati dilanggar di Kilometer 25 Jalan Kuantan-Gambang baru-baru ini, Wan Junaidi berkata, beliau menyeru kepada pengguna jalan raya supaya lebih berhati-hati memandu di kawasan berkenaan.

Beliau mahu Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) memasang lebih banyak papan tanda lintasan hidupan liar di lokasi yang dikenal pasti bagi mengelakkan lebih banyak kejadian langgar haiwan daripada berlaku.

“Berdasarkan rekod PERHILITAN, ada 61 jaringan jalan raya dan lebuh raya yang pernah dicatatkan berlakunya kes langgar haiwan di mana lima laluan dikenalpasti sebagai laluan kerap kemalangan iaitu Jalan Kuala Lipis - Gua Musang, Jalan Kulai - Kota Tinggi, Jalan Gua Musang - Kuala Krai; Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) dan Jalan Taiping - Selama,” katanya.

Katanya, PERHILITAN mengambil beberapa langkah proaktif untuk menangani perkara itu termasuk memasang 236 papan tanda lintasan hidupan liar di 133 lokasi titik panas di Semenanjung Malaysia.

Sebanyak 37 set ‘transverse bar’ dan 24 unit solar ‘amber light’ juga dipasang di empat lokasi lintasan hidupan liar di kawasan Central Forest Spine (CFS) selain membina ‘viaduct’ bagi tujuan lintasan hidupan liar di tiga lokasi koridor hidupan liar iaitu di Sungai Deka, Terengganu, Sungai Yu, Pahang dan di Gerik, Perak.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Julai 2016 @ 7:58 AM