Siti A’isyah Sukaimi
sitiaisyah@hmetro.com.my

Putrajaya: Fenomena La Nina yang dilaporkan bakal melanda Malaysia tidak lama lagi dijangka meningkatkan kes denggi di negara ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, setiap tahun fenomena La Nina membawa penurunan hujan lebih tinggi dan ia dilihat mengundang peningkatan trend kes denggi.

Beliau berkata, berdasarkan pemantauan semasa, trend peningkatan kes denggi bagi lima minggu ini menunjukkan corak sama bagi tempoh sama tahun lalu.

“Oleh itu, aktiviti pencegahan perlu ditingkatkan seperti pembersihan tempat pembiakan dan kempen kebersihan di peringkat kebangsaan, negeri dan daerah.

“Aktiviti kempen kebersihan perlu memfokuskan kepada mesej jangan buang sampah merata-rata dan memusnahkan tempat pembiakan nyamuk aedes,” katanya dalam kenyataan sejurus Mesyuarat Petugas Khas Denggi Peringkat Kementerian Kesihatan, di sini, semalam.

Katanya, pencegahan denggi perlu dilaksanakan di peringkat kementerian, pihak berkuasa tempatan (PBT) serta agensi.

Dr Noor Hisham berkata, aktiviti pencegahan yang berkesan memerlukan kerjasama dan sokongan semua anggota masyarakat malah, pelaksanaan Program Komunikasi Untuk Perubahan Tingkah Laku (COMBI) adalah contoh kerjasama antara Kementerian Kesihatan dan anggota masyarakat yang boleh diikuti.

“Pasukan COMBI mesti memainkan peranan menggerakkan komuniti dengan bekerjasama dengan agensi terbabit,” katanya.

Dr Noor Hisham berharap aktiviti pencegahan dan kawalan denggi diperkukuhkan secara bersepadu.

“Peranan kementerian dan agensi lain diperlukan supaya kes denggi di seluruh negara diatasi dengan kadar segera,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Dr Noor Hisham menasihatkan orang ramai yang berkunjung ke rumah terbuka supaya mengehadkan penggunaan bekas makanan dan minuman polisterin bagi mengelak peningkatan sampah domestik di kawasan kediaman.

“Dikhuatiri bahan polistren menjurus kepada pembiakan nyamuk aedes dan seterusnya peningkatan kes denggi.

“Sehubungan itu, PBT perlu memastikan kutipan sampah di kawasan berkenaan bagi mengelak pembiakan nyamuk aedes,” katanya.

Beliau berkata, daripada pemantauan pihak kementerian pada 3-9 Julai lalu, sebanyak 1,512 kes denggi dilaporkan iaitu penurunan 505 kes atau 25.0 peratus berbanding 2,017 kes pada minggu sebelumnya.

Katanya, jumlah kumulatif kes denggi dilaporkan adalah 59,294 kes berbanding 62,648 kes bagi tempoh sama tahun lalu iaitu penurunan 5.4 peratus atau 3,354 kes.

“Jumlah kumulatif kematian denggi sehingga minggu ke-27 sebanyak 134 kematian berbanding 173 kematian bagi tempoh sama tahun lalu iaitu menurun sebanyak 39 kematian atau 22.5 peratus.

“Tren penurunan ini berkait rapat dengan musim perayaan di mana ia sama pada 2014 dan 2015,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Julai 2016 @ 9:55 AM