SITI Au’la menunjukkan laporan polis dibuatnya.
Fuad Hadinata Yaacob
hadinata@hmetro.com.my

Shah Alam: “Saya bukan saja kerugian RM12,547 iaitu kos membeli tiket kapal terbang ke Kota Kinabalu dan Langkawi untuk 41 orang, malah terpaksa mengeluarkan lagi RM8,000 untuk membeli tiket gantian pada 15 April lalu,” kata Siti Au’la Zamzam, 32, jurujual di Kirana Holidays Sdn Bhd yang beroperasi di Melaka.

Siti Au’la adalah salah seorang pembeli tiket Rayani Air yang membeli 41 tiket untuk pelanggan agensi pelancongan berkenaan sebelum Jabatan Penerbangan Awam (DCA) dan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) membatalkan Sijil Pengendali Udara (AOC) serta Lesen Perkhidmatan Udara (ASL) Rayani Air pada 13 Jun lalu.

Tindakan itu menyebabkan syarikat penerbangan patuh syariah itu tidak lagi dibenarkan beroperasi sebagai sebuah syarikat penerbangan komersial.

Siti Au’la berkata, dia terpaksa mengeluarkan wang simpanan sendiri untuk membayar kepada majikannya hampir RM20,000 disebabkan pembatalan penerbangan seperti dijanjikan.

“Tiket untuk pelanggan ini saya tempah Januari dan Mac lalu dengan tarikh penerbangan 15 dan 17 April lalu sebelum syarikat itu digantung tiga bulan mulai 11 April lalu menyebabkan saya terpaksa mencari penerbangan ganti dalam masa sehari dua.

“Saya kini dalam dilema kerana menggunakan wang sendiri untuk membeli tiket penerbangan ganti pelanggan dan tidak sangka kali pertama saya membeli tiket Rayani Air dan pertama kali mahu menaiki penerbangan syarikat itu, ini yang saya terima,” katanya sedih.

Siti Au’la berkata, selepas kejadian itu dia kerap menghubungi pengurusan malah sudah dua kali mengunjungi pejabat Rayani Air di Dataran Otomobil Shah Alam namun hampa.

“Setiap kali datang mereka janji hendak pulangkan semula duit tiket saya namun baru-baru ini kawan saya ke sana, syarikat itu tidak beroperasi.

“Kami hanya minta mereka pulangkan duit kami saja, jika tidak kami akan mengambil tindakan termasuk melaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pelbagai lagi,” katanya.

Sementara itu dalam laman Facebook syarikat itu, Rayani Air memohon maaf kepada pelanggan kerana masih tidak mampu membuat pembayaran semula ke atas tiket penerbangan pelanggan.

Menurut kenyataan itu, penarikan balik lesen ASL menyebabkan tiada pelabur mahu bekerjasama dengan mereka.

“Dengan penarikan balik lesen itu, pelabur yang sudah memberikan komitmen memasukkan dana pada 30 Jun lalu bagi menyelesaikan pembayaran balik kepada pelanggan menarik diri dan ia di luar jangkaan kami.

“Bagaimanapun, kami sedang berusaha keras untuk meminta DCA dan MAVCOM memberi peluang kedua untuk kami beroperasi. Dengan peluang kedua ini, pelabur akan mengambilalih pemilikan syarikat dengan pengurusan baru yang lebih baik.

“Kami tidak boleh menjanjikan tarikh ia dapat dilaksanakan, namun yang pasti keutamaan kami adalah obligasi kami terhadap pelanggan,” kata kenyataan itu lagi.

Mereka turut meminta pelanggan bersabar ketika ini dan tidak datang ke pejabat kerana ditutup ketika ini dan mereka akan membuat pengumuman rasmi sebaik mendapat berita positif.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Julai 2016 @ 10:07 AM