WAZI ke Makkah pada 24 Julai ini menaiki ‘kapcai’.

Kuala Lumpur: Tunggang ‘kapcai’ dari Malaysia ke Makkah. Kedengarannya seperti sukar dilaksanakan, tetapi bekas pelumba motosikal profesional, Wazi Abdul Hamid mahu melakukannya bersama lima rakan pada 24 Julai ini.

Menurut Wazi, dia mahu melaksanakan ‘Ride to Haj’ untuk berdakwah.

“Kebanyakan mat motor hanya beranggapan motosikal berkuasa tinggi saja yang boleh konvoi ke lokasi yang jauh, tetapi saya ingin mencipta kelainan dengan menunggang kapcai ke Makkah.

“Dengan izin Allah SWT, perjalanan ini dijangka mengambil masa selama 45 hari untuk sampai di sempadan Arab Saudi,” katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, dia bersama lima rakan membuat persiapan mental dan fizikal untuk mengharungi perjalanan ke Makkah.

“Saya bersama rakan melakukan latihan dengan masuk ke dalam hutan menaiki ‘kapcai’ dan melalui kawasan pedalaman di Perak,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Julai 2016 @ 7:19 AM