HAIRI (tiga dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada Mohd Hanafiah ketika mengunjungi Muhammad Hisyam (duduk).
myMetro

Tangkak: Kasihnya ibu, membawa ke syurga kasihnya saudara, masa berada. Itu pengorbanan Mohd Hanafiah Haris, 29, menggalas tanggungjawab menjaga adiknya, Muhammad Hisyam, 28, yang juga orang kurang upaya (OKU) sejak beberapa tahun lalu.

Jika kebanyakan rakan seusia sibuk melayari jiwa muda, namun kehilangan kedua orang tua yang terlebih dulu pergi mengadap Ilahi buat selama-lamanya, memaksa Mohd Hanafiah menjaga keperluan adik istimewanya itu dalam menjalani kehidupan harian.

Raut wajahnya tidak pernah menggambarkan kepenatan, bahkan sentiasa memastikan amanah kedua ibu bapanya itu dengan baik.

Katanya, dia memikul tugas menjaga adiknya itu selepas bapanya meninggal dunia pada 2009, manakala ibunya pada 2011 dan sebagai anak sulung, menjadi tanggungjawabnya untuk menjaga adik keduanya itu yang OKU sejak lahir.

Menurutnya, kedua-dua kaki Muhammad Hisyam tidak berfungsi, sekali gus membataskan pergerakannya selain tidak boleh bertutur.

“Saya menjaganya ibarat menguruskan kanak-kanak berikutan dia tidak memahami apa yang diperkatakan. Dia juga tidak boleh bercakap atau berjalan malah jika mahu bergerak sekalipun hanya dengan mengensot saja,” katanya yang tinggal di rumah pusaka keluarganya di Jalan Kesang Laut, di sini.

Mohd Hanafiah berkata, andainya dia berkahwin, amanah digalas untuk menjaga adiknya akan diteruskan termasuk menjaga segala keperluan hariannya dengan baik dan tinggal bersamanya.

Katanya, dia juga jarang mengalami kesempitan kewangan bahkan pendapatan yang diterima cukup-cukup saja untuk mereka berdua.

“Dia (adik) pun ada menerima bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya yang bekerja sebagai pembantu kedai memproses ayam berhampiran kediamannya.

Kehidupan dua beradik itu mendapat perhatian peserta Konvoi Ziarah Ramadan 2.0 anjuran Majlis Belia Daerah Tangkak (MBDT) yang mengunjungi kediaman mereka dan menyampaikan sumbangan.

Yang Dipertua MBDT Hairi Iskandar Tahir berkata, seramai 46 belia menyertai program itu membuat lawatan ke rumah insan kurang berkemampuan serta menyampaikan sumbangan berbentuk wang tunai RM100 dan barangan keperluan dapur.

Konvoi itu turut disertai ahli Persatuan Belia Bukit Kangkar, Majlis Kebudayaan Daerah Tangkak, Pejabat Belia dan Sukan Daerah Tangkak dan Proton Saga Ledang Crew (PROSLEC).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Julai 2016 @ 10:06 AM