MOHD Fauzi menyerahkan pek berbuka puasa #HMKotakRezeki kepada Mohamad Pajeri.
Khairulmizan Yahya
am@hmetro.com.my

Kuantan: Berpuasa dalam keadaan cuaca panas serta gelombang di tengah laut antara cabaran terpaksa dihadapi pegawai dan anggota Pasukan Polis Marin (PPM) sepanjang Ramadan namun itu bukan penghalang untuk mereka melaksanakan tugas menjaga keamanan dan ketenteraman di perairan negara.

Malah, sumber makanan terbatas di atas kapal menyebabkan mereka berbuka puasa hanya dengan menjamah juadah ala kadar, tetapi ia sudah menjadi perkara biasa bagi pasukan keselamatan itu.

Timbalan Komander PPM Wilayah 3 Superintendan Mohamad Pajeri Ali berkata, dalam apa keadaan sekali pun mereka perlu mengutamakan tugas selaras dasar utama Polis Diraja Malaysia (PDRM) iaitu menjaga kedaulatan negara termasuk perairannya.

“Memang diakui, bertugas di tengah lautan ketika berpuasa atau menyambut Aidilfitri sangat mencabar terutama dari segi emosi, namun ia bukan masalah besar bagi pegawai dan anggota kerana mereka sudah biasa melalui pengalaman itu.,” katanya.

Mohamad Pajeri berkata, bagi pegawai dan anggota yang bertugas di atas bot kecil, mereka kebiasaannya akan singgah di pulau berhampiran untuk mendapatkan juadah berbuka puasa manakala bagi kru kapal, mereka perlu memasak sendiri makanan.

“Namun, dengan sumbangan pek berbuka puasa #HMKotakRezeki daripada Harian Metro sekurang-kurangnya dapat menceriakan mereka selain memberi semangat dalam melaksanakan tugas kerana rasa dihargai,” katanya ketika menerima sumbangan pek berbuka puasa #HMKotakRezeki di Markas PPM Wilayah 3, Padang Lalang, di sini, semalam.

Sebanyak 85 pek berbuka puasa diserahkan kepada anggota keselamatan itu oleh Ketua Biro Harian Metro Pahang, Mohd Fauzi Abdullah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Julai 2016 @ 10:21 AM