ORANG ramai membantu mangsa terbabit kemalangan.
Essa Abu Yamin
am@hmetro.com.my


Batu Pahat: Suasana tenang bertukar hiba apabila seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun bersama kenalan lelaki ibunya maut dalam keadaan berlumuran darah selepas motosikal ditunggang mereka terbabit dalam kemalangan di Kilometer 29, Jalan Batu Pahat-Ayer Hitam, pagi semalam.

Kemalangan kira-kira jam 10.45 pagi itu berdekatan Kampung Kota Dalam di sini, mengakibatkan Nur Arlisa Shakira Abdul Rahman, 3, maut di lokasi kejadian, manakala Shahrim Daini, 46, meninggal dunia ketika mendapat rawatan.

Ibu kanak-kanak terbabit, Nurul Suhaida Shukor, 23, kini berada dalam keadaan separuh sedar akibat hentakan kuat di kepala.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Din Ahmad berkata, kejadian berlaku apabila mereka yang menaiki motosikal berkenaan sedang dalam perjalanan dari Ayer Hitam ke Batu Pahat.

“Namun sebaik tiba di lokasi, motosikal ditunggang Shahrim dipercayai hilang kawalan lalu melanggar bahagian belakang sebuah lori yang cuba membelok ke kanan jalan.

“Akibat kemalangan itu, kanak-kanak terbabit mengalami kecederaan parah dan disahkan maut di tempat kejadian manakala lelaki terbabit meninggal dunia ketika mendapat rawatan,” katanya

Ibu mangsa pula katanya berada dalam keadaan separuh sedar dan masih mendapat rawatan di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI).

Menurutnya, mayat mangsa dibawa ke unit forensik HSNI untuk bedah siasat dan kes kemudian disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu saksi kejadian, Zainal Kadir, 35, berkata, kejadian berlaku agak pantas dan dia berada di lokasi beberapa minit selepas kemalangan nahas itu berlaku.

Menurutnya, keadaan ketika itu kecoh kerana jalan berkenaan berlumuran darah akibat kecederaan di kepala lelaki dan kanak-kanak perempuan itu.

“Ketika itu kanak-kanak perempuan terbabit kelihatan tidak lagi bernyawa dan orang ramai cuba membantu lelaki dan seorang lagi wanita yang turut mengalami kecederaan. Mereka kemudian dibawa ke hospital untuk siasatan lanjut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Julai 2016 @ 7:07 AM