Sebahagian penagih yang ditahan.
Khemah usang dijadikan port aktiviti penagihan dadah dibakar serta dibersihkan pihak AADK.
Mohd Fadly Samsudin
fadly@hmetro.com.my

Semenyih: Diberi jolokan nama istimewa ‘Port Nafas’ oleh penagih dadah tegar sekitar daerah Kajang.

Itu antara lokasi popular terletak di kawasan Sungai Purun, Jalan Bangi Lama di sini, yang kerap dikunjungi berpuluh penagih untuk mendapatkan bekalan dadah setiap hari.

Difahamkan lokasi tersorok itu terletak hampir satu kilometer dari jalan utama dan perlu melalui laluan tidak berturap.

Lokasi yang jauh dari pandangan itu menyebabkan golongan penagih merasakan kegiatan mereka ‘selamat’ dan tidak dapat dihidu pihak berkuasa.

Bagaimanapun, kegiatan mereka terbongkar selepas 14 pegawai dan anggota Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Hulu Langat menyerbu kawasan itu melalui Ops Tapis, awal pagi semalam.

Ketua Pegawai AADK Hulu Langat Muhamad Ramlan Syed Ahmed berkata, pihaknya bersama pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang mula memasuki kawasan itu pada jam 6 pagi.

Menurutnya, kawasan itu terasing dan sukar dimasuki berikutan permukaan jalannya hanya diturap dengan batu kerikil.

“Hasil operasi selama lima jam itu, seramai 26 individu termasuk dua wanita ditahan.

“Pemeriksaan selanjutnya mendapati, 23 daripada mereka positif dadah dipercayai syabu dan heroin,” katanya.

Beliau berkata, enam individu itu kemudian diserahkan kepada pihak polis kerana mempunyai rekod dikehendaki polis.

“Kawasan itu terdapat dua tokan yang menjadikan sebuah khemah usang sebagai kedai menjual dadah.

“Pelanggan yang masuk untuk mendapatkan dadah bukan sahaja dari kawasan sekitar Semenyih, Beranang malah ada yang datang dari Rawang serta Felda Pasoh di Jelebu, Nilai dan Senawang, Negeri Sembilan,” katanya.

Muhamad Ramlan berkata, semua ditahan berusia lingkungan 30 dan 40-an.

“Mereka kemudian dibawa ke Pejabat AADK Hulu Langat untuk urusan dokumentasi.

“Pada akhir serbuan, pihak kami turut melakukan pembersihan dengan memusnahkan khemah yang dijadikan tempat aktiviti penagihan serta urusan jual beli dadah,” katanya.

Menurut Muhamad Ramlan, pihaknya percaya penagih yang keluar masuk mendapatkan bekalan dadah di kawasan itu mencecah 50 individu pada satu-satu masa.

“Operasi dan pemantauan terus dilaksanakan bagi memastikan sarang yang aktif ini berkubur,” katanya.

“Sementara itu, semua individu itu ditahan mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan ) 1983 dan sebahagian daripada mereka juga akan disiasat mengikut Seksyen 6(3) Akta yang sama kerana kesalahan Melanggar Syarat Pengawasan,” katanya.

captions:

Pix 1: Khemah usang yang dijadikan port aktiviti penagihan dadah dibakar serta dibersihkan pihak AADK.

Pix 2: Sebahagian penagih yang ditahan dalam Op Tapis di kawasan Sungai Purun, Jalan Bangi Lama, Semenyih, awal pagi kelmarin.

ends

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Jun 2016 @ 9:02 AM