RAUZAWANI (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada keluarga pesalah.
Zul Ikhwan Muhammad
am@hmetro.com.my

Mersing: Lima beradik yang hidupnya terumbang-ambing apabila ibu mereka dipenjara tiga tahun selepas didapati bersalah mencuri barangan kosmetik menerima sumbangan daripada pengasas Glow Glowing Beauty Skin Dara Anggun, Rauzawani Abdul Hadi yang menyerahkan sumbangan berkenaan di kediaman mereka di Kampung Wak Salam di sini, kelmarin,

Untuk rekod, ibu lima beradik itu, Zariah Zakaria, 37, dipenjara tiga tahun selepas didapati bersalah bersama empat yang lain mencuri 17 barangan kosmetik pelbagai jenama bernilai RM2,171.50 di kedai menjual produk kesihatan dan kecantikan di Taman Anggerik di Bandar Tenggara, dekat sini.

Selain Zariah, ibu mentuanya, Rohaya A Rahman, 57, serta tiga adik beradik iparnya, Noriza Che Abdullah, 38, Maimunah, 26, dan Nurul Fatihah, 19, dijatuhi hukuman sama selepas mengaku bersalah melakukan perbuatan terbabit.

Walaupun menjadi mangsa, Rauzawani tidak menjadikan ia alasan untuk tidak membantu lima beradik itu.

“Saya terpanggil untuk menyampaikan sumbangan kepada keluarga berkenaan selepas membaca kisah mereka di laman sosial Facebook (FB).

“Sumbangan diberi bagi meringankan beban ditanggung keluarga itu untuk menyambut Aidilfitri. Saya harap masyarakat tidak menghukum anak-anak ini serta ibu mereka yang sedang menjalani hukuman penjara,” katanya.

Menurut Rauzawani, lima beradik berkenaan tidak bersalah dan mereka wajar dibantu.

“Malah selepas kami datang sendiri bertemu mereka, barulah kami tahu mengenai kesusahan lima beradik ini yang perlu meneruskan kehidupan tanpa ibu.

“Saya harap mereka tabah selain ibu mereka akan menjalani kehidupan lebih baik apabila dibebaskan,” katanya yang turut menasihati Siti Nuraisah supaya tabah menjaga adik beradiknya dan tidak mengambil peduli pandangan masyarakat.

Duta produk berkenaan yang turut hadir pada majlis sumbangan itu, pelakon Sheera Iskandar, 31, turut berkongsi kisah sedih keluarga terbabit.

“Kami harap masyarakat terus memberi sokongan kepada lima beradik berkenaan supaya mereka tidak terus dihimpit tekanan,” katanya.

Sementara itu, anak sulung Zariah, yang dikenali sebagai Siti, 19, bertekad akan terus menjaga empat adiknya.

“Susah macam mana sekalipun, saya akan jaga sendiri semua adik dan tidak akan sekali-kali serahkan mereka kepada orang lain,” katanya.

Beliau berkata, ibunya pernah berpesan supaya menjaga adik-adiknya dengan baik sekiranya dia sudah tiada.

Lebih menyedihkan, katanya, ibu mereka perlu menjalani hukuman terbabit ketika umat Islam mahu menyambut Aidilfitri.

“Saya perlu mengambil tanggungjawab menjaga empat adik berusia enam bulan hingga 15 tahun. Saya juga terpaksa berhenti kerja sebagai pembantu kedai semata-mata mahu menjaga adik-adik termasuk menghantar serta menjemput mereka pulang daripada sekolah setiap hari.

“Saya perlu memberi tumpuan lebih kerana adik bongsu yang masih menyusu badan dan kerap menangis pada waktu malam kerana mencari ibu,” katanya.

Selain sedih mengenangkan nasib ibu serta tidak sampai hati melihat adik bongsu menangis setiap hari, mereka lima beradik juga merasakan Aidilfitri tahun ini tidak bermakna.

Siti berkata, dia reda dengan perkara itu dan berjanji dengan ibunya untuk terus menjaga adik-adik selain berharap ibunya tidak akan mengulangi kesilapan sama sebaik dibebaskan.

“Saya pikul tanggungjawab itu kerana bapa hanya bekerja sebagai buruh dengan pendapatan kira-kira RM1,000 sebulan.

“Demi meneruskan kelangsungan hidup dan menyara keluarga, bapa terpaksa menyerahkan tanggungjawab menjaga adik kepada saya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Jun 2016 @ 5:18 AM