KELIHATAN anggota forensik menjalankan pemeriksaan di tempat mesin ATM yang diletupkan.

Putatan: Lima penjenayah bertopeng meletupkan dua mesin juruwang automatik (ATM) di Plaza Putatan, Jalan Putatan, di sini, sebelum melarikan sejumlah wang daripada dua peti besi mesin itu, semalam.

Dalam kejadian jam 4.20 pagi, suspek mengacukan pisau ke arah pengawal keselamatan yang menjaga premis berkenaan sebelum melarikan diri.

Letupan kuat itu disedari anggota Balai Polis Putatan yang bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan pemeriksaan.

Sebaik tiba, polis mendapati dua mesin ATM dalam keadaan hancur dan berselerakan dipercayai musnah akibat bahan letupan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) negeri Datuk Salehhudin Abd Rahman berkata, polis yakin suspek menggunakan bahan letupan buatan sendiri untuk meletupkan mesin ATM berkenaan.

“Siasatan awal mendapati lima suspek dilihat memasuki premis itu dan meletupkan dua mesin ATM sebelum melarikan dua peti besi mengandungi wang tunai menggunakan kenderaan Perodua Myvi yang diletakkan di bangunan di situ.

“Ketika cuba melarikan diri, seorang daripada suspek mengacukan pisau kepadapengawal,” katanya.

Salehhudin berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan penjenayah kumpulan sama melakukan rompakan mesin ATM di Membakut 11 Mei lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Jun 2016 @ 7:49 AM