HERA (kiri) dan Faizal Hakim menyiram air mawar di pusara ibu mereka di Tanah Perkuburan Islam Kampung Lubuk Merbau,Padang Rengas.

Kuala Kangsar: “Mama pernah berpesan menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) dua bulan lalu supaya saya menjaga dua adik sekiranya dia sudah tiada nanti,” kata Hera Helmi, 30.

Hera yang bekerja sebagai jurumekap artis anak sulung kepada dramatis popular era 90-an, Linda Helmi atau nama sebenarnya Norlinda Ahmad, 55, yang meninggal dunia jam 4.30 petang kelmarin di Hospital Taiping.

Linda popular menerusi drama bersiri Pendekar dan Spektra serta pernah memenangi trofi Pelakon Pembantu Terbaik pada Anugerah Skrin 1996 menerusi drama Ribuan Mimpi-Mimpi.

Menurut Hera, pesanan itu disampaikan ketika arwah ibunya pulang dari Cheras ke Kuala Kangsar untuk persediaan menyambut puasa.

Katanya, arwah ibunya mengalami batuk berpanjangan sejak tiga bulan lalu dan ketika itu, mereka menyangka ia batuk biasa yang tidak memudaratkan.

“Batuk itu menjadi lebih teruk dan kami membawa mama ke hospital untuk diperiksa. Doktor kemudian memberitahu mama mengalami penyakit hati dan sudah terlewat untuk diubati.

“Mama dimasukkan ke Hospital Taiping pada 5 Jun dan keadaannya makin tenat sehingga dia menghembuskan nafas terakhir jam 4.30 petang semalam (kelmarin),” katanya.

Hera berkata, kali terakhir dia berbual bersama ibunya dua jam sebelum arwah meninggal dunia.

Katanya, ketika itu, dia memberitahu untuk membawa ibunya pulang ke rumah kerana arwah berasa tidak selesa tinggal di hospital terlalu lama.

“Ketika itu mama dalam keadaan lemah dan hanya mengangguk apabila saya memberitahu untuk membawanya pulang ke rumah di Kuala Kangsar esok.

“Allah sebaik-baik perancang, mungkin sudah takdir saya membawa mama pulang ke rumah dalam keadaannya sebagai tetamu Allah,” katanya.

Hera berkata, dia akan berpegang kepada pesanan ibunya itu dan akan menjaga dua adiknya iaitu Faizal Hakim, 18, dan Daniel Hakim, 12.

Katanya, dia juga perlu fokus untuk menguruskan Daniel Hakim yang akan menghadapi peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tidak lama lagi.

Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Melayu Lubuk Merbau jam 12 tengah hari semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Jun 2016 @ 6:28 AM