AHMAD ZAHID menyertai majlis tadarus al-Quran di Bagan Datoh, semalam.

Bagan Datoh: Umat Islam di negara ini digesa ketepikan perbezaan pendapat dan politik demi kepentingan agama dan bangsa untuk menjadikan negara ini sebagai negara Islam contoh.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, keadaan perpaduan di negara ini semakin baik dan perbezaan pendapat semakin diatasi.

Menurutnya, perpaduan ummah baik ketika ini kerana tiadanya perbezaan mazhab, sebaliknya hanya perbezaan pendapat dan politik.

“Perpaduan ummah di negara ini didapati bertambah baik, tiada perbezaan mazhab, yang ada hanya perbezaan pendapat tetapi ia ditangani menerusi akhlak serta adab berikhtilaf.

“Kalau berbeza pegangan politik dalam kalangan umat Islam perlu ketepikan demi matlamat yang sama untuk mewujudkan bangsa Malaysia yang bersatu dalam negara yang makmur.

“Perbezaan ini (politik) harus diketepikan kerana negara dan bangsa kita sudah ke depan dan jadi contoh umat Islam yang baik,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Penutup Tadarus al-Quran Perdana Kawasan Parlimen Bagan Datoh di Wisma UMNO Bagan Datoh, di sini semalam.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri dan Ahli Parlimen Bagan Datoh berkata, kemampuan mengetepikan perbezaan pandangan dan pegangan politik demi perpaduan ummah akan meletakkan Malaysia di kedudukan tersendiri serta dipuji oleh negara maju lain.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Jun 2016 @ 6:06 AM