TENGKU Amir Shah menyampaikan sumbangan raya kepada warga emas ketika menghadiri program Komuniti Belia Selangor di Masjid Umariah, Kampung Perepat, Kapar.

Klang: Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafudin Idris Shah menyerahkan sumbangan bersempena Ramadan kepada golongan yang memerlukan di sekitar daerah ini semalam.

Initiatif itu diilhamkan sendiri baginda selaku penaung dan Eksekutif Presiden Komuniti Belia Selangor (SAY) bagi menggalakkan belia menyertai program sukarela melalui pembabitan kelab pelajar Kolej Saito.

Seramai 102 penduduk menerima bantuan berbentuk barangan keperluan asas termasuk 24 asnaf yang turut menerima bantuan zakat menerusi bayaran fidyah.

Pengurus Komuniti Belia Selangor Zaiferez Hadzere berkata, selain asnaf, penerima sumbangan membabitkan warga emas, golongan kurang upaya (OKU), anak yatim, dan juga ibu tunggal.

“Dalam program itu, Raja Muda turut melawat empat penerima sumbangan yang tidak dapat hadir sendiri ke dua masjid dan surau yang ditetapkan berikutan mengalami keuzuran.

“Selain penyertaan pelajar Kolej Saito, ia mendapat tajaan daripada Pasar Raya Segi Fresh yang menaja barangan keperluan asas disumbangkan kepada penerima pada hari ini (semalam),” katanya ketika ditemui di Masjid Umariah, Kampung Perepat, Kapar di sini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Jun 2016 @ 9:04 AM