TEMU bual bersama penghuni rumah Pengasih pada majlis berbuka puasa Pengasih di Bukit Tunku.
Asrizal Aris
asrizal.aris@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: “Insya-Allah, tahun ini kali pertama saya akan berpuasa penuh selepas menempuh zaman kegelapan selama ini,” itu pengakuan Fadil, 37, seorang bekas penagih dadah yang insaf selepas menjalani program pemulihan selama enam bulan di Rumah Pengasih, Bukit Tunku, di sini.

Fadil berkata, Ramadan kali ini sangat bermakna kerana dia berasa dekat dengan Allah dan menyesali dengan kehidupannya sebelum ini yang tidak pernah berpuasa sebulan sepanjang bulan puasa.

Katanya, kali pertama menjejakkan kaki ke rumah pengasih itu apabila bapa saudara juga bekas penghuni berpakat dengan keluarga menangkap dan mengikatnya untuk dibawa ke situ selepas melihat dia semakin serius ketagihan dadah.

“Ketika hari pertama di sini, saya beberapa kali meminta untuk pulang dan terfikir untuk melarikan diri. Tetapi, hari ini, meskipun mereka mengarahkan saya pulang, saya pula yang mahu tinggal di sini sehingga Aidilfitri.

“Bukan bencikan keluarga, tetapi saya rasa lebih tenang dan banyak yang ingin belajar mengenai agama di sini,” katanya ketika ditemui dalam Majlis Berbuka Puasa Rumah Pengasih, Bukit Tunku, kelmarin.

Menurutnya, program pemulihan yang diterapkan di rumah pengasih itu bukan bertujuan menghindar ketagihan dadah penghuni, tetapi mengubah sikap penghuni dari terpesong ke akhlak yang lebih terpuji.

Sementara itu, Yang Dipertua Persatuan PENGASIH Malaysia, Datuk Mohd Yunus Pathi berkata, majlis berbuka puasa yang diadakan adalah untuk mengeratkan lagi silaturahim antara penghuni, keluarga, kakitangan pengasih dan agensi kerajaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Jun 2016 @ 11:00 AM