ANITA tiba di Turki.

Kuala Lumpur: Pengembara wanita solo bermotosikal negara, Anita Yusof kini tiba di Tehran, Iran selepas sembilan bulan merentasi tiga benua iaitu Amerika Utara, Amerika Selatan dan Eropah.

Ibu kepada dua anak yang juga pensyarah sains sukan dan Jabatan Fizikal di Institut Pendidikan Guru, Kampus Ipoh itu sudah menunggang lebih 47,000 kilometer (km) merentasi lebih 30 negara sejak bermula di Seattle, Amerika Syarikat, 16 September lalu.

Anita berkata, jadual perjalanan kembara Global Dream Ride (GDR) tertunda seketika sewaktu berada di Turki, baru-baru ini kerana masalah visa untuk memasuki Uzbekistan.

Kata wanita berasal dari Batu Pahat, Johor itu, dia tiba di benua Asia menerusi Turki pada 22 Mei lalu selepas mengelilingi benua Eropah.

Katanya, sepanjang berada di bumi Turki dia berpeluang bertemu dengan ramai rakyat Malaysia yang tinggal di negara berkenaan termasuklah pihak Kedutaan Malaysia serta keluarga Atase Pertahanan Malaysia di sana, Kolonel Zakaria Borhan dan isteri.

“Meskipun baru pertama kali bersua namun layanan mereka tidak ubah seperti keluarga sendiri dan saya terhutang budi dengan bantuan yang diberikan sepanjang berada di sana.

“Selain itu, saya juga berpeluang menyambut Ramadan dan menunaikan solat Tarawih bersama mereka di Ankara sementara menunggu visa disiapkan,” katanya ketika dihubungi.

Menurut Anita lagi, sebelum meninggalkan Turki, dia sempat singgah ke lokasi idamannya iaitu Cappadocia dan tempat dipercayai tersadainya bahtera Nabi Nuh ketika dalam perjalanan menuju ke Iran.

Katanya, meskipun setiap hari dia perlu menunggang lebih 500 kilometer berdepan cuaca yang tidak menentu, namun ibadat puasa tetap diteruskan seperti biasa.

“Memang agak letih menunggang pada bulan Ramadan selain perlu berpuasa hampir 17 jam, namun saya tidak begitu memikirkannya (lapar atau dahaga) kerana lebih terpesona dengan pemandangan indah di sepanjang laluan.

“Alhamdulillah, motosikal Yamaha FZ150 tajaan Hong Leong Yamaha Motor yang digunakan sepanjang kembara ini juga masih dalam keadaan baik walaupun beberapa kali hampir terjatuh kerana angin kuat,” katanya.

Sementara itu, Anita berkata, misi kembaranya kini tinggal kira-kira 10,000 km saja lagi membabitkan beberapa negara di Asia Tengah sebelum pulang ke tanah air.

Katanya, kembara berkenaan turut mendapat perhatian media antarabangsa, termasuk akhbar serta televisyen di Argentina, Britain dan Turki.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Jun 2016 @ 5:03 AM