Dungun: “Dia seorang pegawai yang baik. Setiap kali ada kemalangan, dia akan turun bersama anggotanya untuk menyelamatkan mangsa,” kata Mohamad Jamil, 48, rakan kepada Mohd Jefri Ibrahim, 44, yang maut dalam kemalangan di Kilometer 87, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, dekat Bukit Bauk, di sini, kelmarin.

Mohd Jefri yang juga Pegawai Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Daerah Dungun disahkan meninggal dunia kira-kira jam 5 petang semalam ketika menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu akibat parah di bahagian dalaman dan patah tangan.

Dalam kemalangan jam 4.10 petang itu, isteri Mohd Jefri, Rokitah Ibrahim, 42, yang bertugas sebagai kerani di Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin parah dan dilaporkan kritikal.

Difahamkan, ketika kejadian, arwah dan isterinya dalam perjalanan pulang selepas menghantar anaknya di asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Pulut, Dungun.

Bagaimanapun, sebaik tiba di tempat kejadian, kenderaan pelbagai guna jenis Perodua Alza dinaiki pasangan suami isteri itu bertembung dengan Perodua Myvi dipandu Mohd Faiz Mazwawi Rosmadi, 22, yang datang dari arah Dungun ke Paka.

Kereta Perodua Myvi dipandu Mohd Faiz dipercayai hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan kereta dinaiki mangsa.

Mohamad yang juga anggota Balai Bomba dan Penyelamat Dungun berkata, arwah disenangi anak buahnya termasuk suka bergurau.

“Saya pernah beberapa kali bertemu dengannya ketika berada di tempat kemalangan kerana arwah turut sama-sama membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Jun 2016 @ 5:01 AM