RAHIMIN menunjukkan bukti makanan dan minuman yang ditinggalkan kaki ponteng berhampiran sebuah gerai.
Mohd Hilmie Hussin
mohdhilmie@hmetro.com.my

Melaka: Sebanyak 49 notis saman dikeluarkan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) kepada pemilik premis perniagaan mahupun pembeli yang menjual makanan kepada kaki ponteng puasa mengikut Seksyen 49 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1981, selepas 13 hari berpuasa di negeri ini.

Bilangan notis saman itu termasuk tiga dikeluarkan semalam membabitkan seorang di daerah Jasin dan dua lagi dalam Melaka Tengah.

Ketua Penguat kuasa JAIM Rahimin Bani berkata, pihaknya melakukan pemantauan dan pemeriksaan secara berterusan hingga akhir Ramadan bagi membanteras kegiatan umat Islam tidak berpuasa serta memastikan peniaga mematuhi dan menghormati bulan ini.

“Operasi Ramadan dilakukan setiap hari sejak 1 Ramadan lalu dan kita memeriksa lebih 200 premis di seluruh negeri membabitkan premis perniagaan makanan dan minuman, restoran dan kedai 24 jam malah gerai terpencil dalam kawasan kampung.

“Setakat hari ini, 49 notis saman hadir mengikut Seksyen 49 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka dikeluarkan membabitkan 29 dalam daerah Melaka Tengah, 14 di Alor Gajah dan enam di Jasin.

“Tiga daripadanya wanita iaitu pemilik premis yang menjual makanan kepada mereka yang tidak berpuasa dan secara keseluruhannya, mereka yang diberi notis saman hadir ini berusia 30-an hingga 60-an,” kata Rahimin selepas Operasi Ramadan selama empat jam tamat jam 2 petang semalam.

Tinjauan Harian Metro yang menyertai operasi terbabit mendapati sebuah gerai di Kampung Paya Goyang, Merlimau, Jasin, tidak sekadar berniaga sebelum jam 2 petang, malah menjual makanan kepada orang Islam.

Lebih teruk, berhampiran gerai terbabit dijadikan lokasi kaki ponteng puasa melampias nafsu makan sambil berjudi.

Ketika pemeriksaan dijalankan, pemilik gerai berusia 60-an pada awalnya enggan bekerjasama, memberikan pelbagai alasan dan tidak mahu menyerahkan kad pengenalan dalam pemeriksaan itu.

JAIM mengeluarkan notis saman hadir mengikut Seksyen 71 enakmen sama ke atas sepasang kekasih yang berdua-duaan di tempat sunyi ketika pemeriksaan di Taman Permainan Bukit Serindit, di sini, semalam.

Rahimin berkata, pasangan berusia 22 dan 30 tahun itu mendakwa menunggu sahabat mereka, namun mengakui perbuatan berdua-duaan itu salah apa lagi dilakukan pada bulan Ramadan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Jun 2016 @ 5:27 AM