TENGKU Hasmadi (empat dari kiri) pada majlis menandatangani perjanjian antara Cab Auto Bus Sdn Bhd dan Persatuan Teksi Lembah Klang.
Hafiz Ithnin
Ithnin@hmetro.com.my

hafiz

Kuala Lumpur: Cab Auto Bus Sdn Bhd (CAB), pemilik aplikasi tempahan teksi, Teksi2Go bakal memulakan operasinya pada Ogos ini membabitkan 5,000 buah teksi di Lembah Klang sebelum diperluaskan secara berperingkat sehingga suku pertama 2017.

Teksi2Go adalah aplikasi yang dibangunkan bagi membantu pemandu teksi tempatan menarik minat pelanggan menggunakan perkhidmatan mereka menerusi pengenalan beberapa konsep terbaru antaranya perkongsian penggunaan dengan pelanggan lain, kadar tambang tetap, imej pemandu dan kenderaan yang dipertingkatkan serta menggunakan perkhidmatan secara kontrak.

Pengerusi Eksekutif CAB, Tengku Hasmadi Tengku Hashim berkata, pengenalan Teksi2Go akan memberi imej baru kepada industri teksi tempatan yang menerima kesan daripada pengenalan aplikasi perkongsian kenderaan yang lain serta persepsi negatif orang ramai kepada industri berkenaan.

Beliau berkata, aplikasi itu juga dilengkapi dengan sistem keselamatan yang dipasang di dalam teksi yang mana terdapat peranti untuk merekod suara kecemasan penumpang yang berhubung terus kepada pusat operasi Teksi2Go.

“Aplikasi ini hanya dibenarkan untuk pemandu teksi yang berlesen saja dan bukan untuk kenderaan persendirian memandangkan kita ingin membantu menaikkan semula imej industri teksi tempatan beserta teknologi baru yang ditawarkan oleh syarikat kami.

“Selain itu, dari segi operasi Teksi2Go, orang ramai atau syarikat boleh mengadakan kontrak perkhidmatan teksi yang menggunakan aplikasi ini yang mana ia lebih mudah serta dapat menguruskan kos lebih efisien kepada penumpang atau syarikat berkenaan,” katanya pada majlis menandatangani perjanjian antara CAB dan Persatuan Teksi Lembah Klang di sini, semalam.

Aplikasi Teksi2Go yang diperkenalkan itu mempunyai nilai pelaburan melebihi RM1 juta dan dijangka diperluaskan pengguanaanya di rantau ASEAN lain dalam tempoh tiga tahun akan datang bergantung kepada prestasi pasaran tempatan yang menjadi fokus CAB terlebih dulu ketika ini.

Hasmadi berkata, pihaknya menjangkakan jumlah teksi berlesen menyertai Teksi2Go meningkat dua kali ganda kepada 10,000 buah dalam masa tempoh tiga bulan ia di lancarkan memandangkan pihaknya optimis Teksi2Go dapat membantu meningkatkan pendapatan pemandu teksi yang mempunyai imej lebih baik.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Jun 2016 @ 5:41 AM