SEBAHAGIAN Orang Asli yang mengikuti kelas pengajian Islam di Surau Al Falah, Kuala Lipis, Pahang.
Meor Riduwan Meor Ahmad
mriduwan@hmetro.com.my


Kuala Lipis: Baru saja Izam Idris memulakan sesi ceramahnya berkenaan fadilat Ramadan, pelbagai soalan diajukan kepadanya oleh sekumpulan Muslimah Orang Asli di sudut kiri Surau Al Falah, di Pos Betau, di sini.

Soalan ditanya ‘berterus terang’ berkisar perkara yang membatalkan puasa termasuk soal menyusukan anak sehingga bab ‘terlupa’ dan makan.

Namun, Izam yang dibantu Ahmad Lodfi Ludin tidak melatah, malah melayan setiap soalan diajukan dengan penerangan ringkas sesekali diselangi jenaka membuatkan kelas agama dihadiri 50 orang termasuk kanak-kanak Orang Asli ceria.

“Menyusukan anak ini tidak membatalkan puasa begitu juga terlupa dan makan di siang hari. Tapi, bila sedar kena berhenti, jika terus makan baru batal,” kata Izam, lulusan Al Azhar yang menjadi sukarelawan sejak enam tahun lalu.

Lebih mencuit hati, seorang pemuda cacat penglihatan, Aslan Bidin, 34, kerap menyampuk sambil mengiyakan setiap butir pengucapan beliau, namun apabila disoal, dia tergagap-gagap menjawab menyebabkan jemaah ketawa.

Kegigihan beliau serta semangat untuk belajar dalam kalangan komuniti Orang Asli ini cukup menyentuh hati apatah lagi dalam keadaan serba kekurangan dan masih ‘merangkak’, mereka tidak putus asa untuk belajar ilmu tauhid dan mengenal Allah SWT.

“Nak mengajar Orang Asli ini, tidak boleh ikut buku teks sebab mereka tidak akan faham. Rata-rata mereka buta huruf dan tidak tahu menulis dan membaca. Jadi, saya gunakan teknik menghafal, santai dan sesi interaktif.

“Beginilah setiap kali kelas agama mereka akan terus bertanya apabila ada kemusykilan. Kadang-kadang ada juga soalan yang sukar, terpaksa saya tangguh jawapan pada minggu berikutnya untuk rujuk kepada mereka yang lebih arif,” katanya.

Menurutnya, pada hari biasa beliau bersama rakan sukarelawan lain bertolak pada jam 12 tengah malam menaiki kereta ke Pos Betau dan kelas dimulakan pada jam 9.30 pagi hingga tengah hari.

“Pada Ramadan ini kelas diadakan selepas solat Asar dan berakhir selepas solat sunat Tarawih berjemaah dan kami bertolak pada sebelah pagi,” katanya ditemui di sini, semalam.

Izam berkata, beliau tidak terus mula mengajar sebaliknya, sekadar bersembang dengan beberapa penduduk bagi mengenal hati budi mereka.

“Orang Asli ini jenis yang berterus terang, jadi kami mesti jujur dan sentiasa menunjukkan akhlak yang baik. Sekali mereka hilang kepercayaan kepada kami, maka mereka tidak akan ikut kami lagi.

“Saya mula secara tidak formal dengan bersembang bersama mereka sebelum secara perlahan tarik mereka ke surau dan selama tiga tahun fokus saya adalah mengajar akidah bersama Mohd Rajawali yang kini diganti oleh Mohd Lodfi Adon,” katanya.

Beliau berkata, pada mulanya kelas diadakan dua kali sebulan dan selepas bermesyuarat dengan penduduk, mereka sepakat mengadakan kelas setiap minggu pada Selasa hingga kini.

“Mungkin mereka (Orang Asli) pelik apabila saya mengajar berulang-ulang. Tujuannya supaya mereka betul-betul faham. Alhamdulillah, selama hampir enam tahun ini, makin ramai yang sudah mampu baca surah Al-Fatihah dan surah ‘tiga Qul’.

“Kami memberi penekanan kepada tauhid dan pengajaran berkaitan kehidupan bermasyarakat serta dalam proses untuk mengajar bab ‘iqra’ kepada mereka,” katanya.

Menurut Izam, dalam melakukan tugas sukarelawan beliau tidak terlepas berdepan dugaan dan cabaran, namun dengan pertolongan Allah SWT semuanya berjaya diharungi.

“Apapun saya agak kecewa kerana pihak tertentu hanya mengislamkan mereka tetapi selepas itu tiada tindakan lanjut termasuk menghantar guru agama bagi membimbing dan mengajar cara mempraktikkan ajaran Islam," katanya.

Beliau yang mengusahakan syarikat Al-Jauharat Holidays Travel & Tour berkata, kelemahan itu perlu diatasi kerana golongan mualaf Orang Asli perlu dibantu bagi mengukuhkan asas pegangan mereka supaya istiqamah dan tidak kembali kepada agama asal.

ESOK: Akan terus pegang teguh kepada agama Islam.

Keterangan gambar

1. Izam menjawab soalan agama diajurkan muslimah Orang Asli di Surau Al Falah, Pos Betau.

2. KAEDAH interaktif digunakan bukan saja menarik minat mualaf Orang Asli memberi tumpuan, malah dapat memberi kefahaman lebih jelas mengenai kemusykilan agama.

3. Mualaf lelaki turut bertanya pelbagai soalan kepada Izam.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Jun 2016 @ 5:29 AM