Mohamad Azim Fitri Abd Aziz
azimfitri@hmetro.com.my


Gombak: Angkara dendam dipercayai menjadi punca seorang lelaki yang sedang menikmati sarapan pagi ditembak bertalu-talu di sebuah restoran di Rawang, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 11 pagi itu, mangsa berusia 41 tahun itu cedera parah apabila salah satu daripada empat tembakan dilepaskan mengenai tubuhnya.

Sumber berkata, kejadian berlaku ketika mangsa sedang menikmati sarapan pagi seorang diri sebelum didatangi suspek yang memakai topi keledar tutup penuh muka.

Menurutnya, suspek didakwa mengeluarkan pistol dan melepaskan lebih tiga das tembakan ke arah suspek, namun hanya satu tembakan mengenai bahagian bahu kiri mangsa.

“Akibat tembakan dilepaskan itu, mangsa rebah dan orang ramai yang menyaksikan kejadian bertempiaran melarikan diri,” katanya kepada Harian Metro.

Difahamkan insiden itu turut menyebabkan salah seorang pekerja restoran cedera apabila sebutir peluru ditembak melantun mengenai tangan kanannya.

Sumber memberitahu, siasatan mendapati mangsa baru dibebaskan daripada tahanan polis selepas disiasat mengikut Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Ali Ahmad ketika dihubungi berkata, pihaknya masih mengesan suspek dan menyiasat motif sebenar kejadian.

Katanya, hasil siasatan menerusi kamera litar tertutup (CCTV) yang terdapat di restoran itu mendapati mangsa ditembak dari jarak dekat sebelum rebah tidak sedarkan diri.

“Mangsa kini dirawat di sebuah hospital swasta di Rawang dan polis akan mengambil keterangan mangsa bagi membantu siasatan,” katanya.

Ali memberitahu, pihaknya masih menyiasat sekiranya wujud elemen kongsi gelap dalam kejadian itu.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan bunuh dan Seksyen 3 Akta Senjata Api (penalti lebih berat) 1971.

Kejadian terbaru itu mengulangi insiden sama apabila seorang ahli perniagaan turut mati ditembak lelaki bermotosikal ketika sedang memandu kenderaan berhampiran Plaza Tol Sungai Rasau, Shah Alam, petang semalam.

Mangsa berusia 43 tahun yang memandu kenderaan Toyota Vellfire maut akibat terkena enam das tembakan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Jun 2016 @ 11:48 AM