HASHIM dan Ketua Pusat Kepimpinan, Komunikasi dan Pengurusan Pejabat Institut Aminuddin Baki (IAB), Wan Azmiza Wan Mohamed.
Mohd Husni Mohd Noor
mhusni@hmetro.com.my

Putrajaya: Seorang pemimpin pendidikan berkualiti bukan hanya berperanan memastikan persekitaran yang dibina memuaskan, sebaliknya membantu meningkatkan prestasi pembelajaran murid selain merintis perubahan di setiap sekolah yang dipimpin mereka.

Mereka juga perlu mempunyai sikap positif dan azam yang kuat bagi memastikan warga kerja yang dipimpin, komuniti setempat dan murid bersama-sama memahami dan menghayati hasrat Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.

Berperanan sebagai pusat latihan kepimpinan pendidikan, Institut Aminuddin Baki (IAB) mempunyai tugas berat untuk memastikan pemimpin pendidikan yang dilatih mempunyai kompetensi diperlukan Kementerian Pendidikan.

Timbalan Pengarah Khidmat Profesional IAB Hashim Mohd Zin berkata, pihaknya mengakui kursus dan program latihan kepimpinan disediakan IAB semata-mata tidak memadai untuk melahirkan pemimpin berkualiti, berpengetahuan dan berkemahiran.

Beliau berkata, setiap pengetua dan guru besar perlu berusaha untuk berkongsi dan menyampaikan hasrat kementerian melalui PPPM 2013-2025 kepada warga sekolah dan komuniti supaya mereka memahami dan memberi sokongan padu terhadap pembangunan pendidikan.

“Pemimpin sekolah perlu menterjemah hasrat PPPM 2013-2025 kepada bentuk perancangan dan pelaksanaan yang bersesuaian dengan konteks sekolah masing-masing.

“Setiap pemimpin pendidikan perlu memiliki kefahaman mendalam dan pandangan jauh terhadap apa-apa perubahan dalam sistem pendidikan bagi memastikan mereka tidak ketinggalan dalam arus globalisasi,” katanya pada sesi taklimat media di sini.

Menurutnya, pengetua dan guru besar perlu sedar mengenai cabaran yang dihadapi termasuk meningkatkan kualiti kepimpinan masing-masing.

Hashim berkata, IAB secara dasarnya mampu menyediakan pengetua dan guru besar untuk berdepan dengan apa-apa isu dan cabaran dan kepimpinan pendidikan menerusi program latihan dan kursus yang disediakan.

Menurutnya, melalui latihan berkesan di IAB, pihaknya berharap pemimpin pendidikan ini memperoleh kompetensi; kemahiran dan pengetahuan yang relevan selain memberi keyakinan kepada mereka untuk memimpin dan membawa warga kerja ke matlamat yang diinginkan.

“IAB adalah institusi yang diamanahkan untuk mengurus dan mengendalikan program latihan dalam kepimpinan pendidikan mencakupi pelan latihan komprehensif dan bersesuaian dengan pembangunan kompetensi pemimpin pendidikan di Malaysia.

“Peranan IAB juga selaras dengan PPPM 2013-2025 iaitu memastikan pemimpin berprestasi tinggi ditempatkan di setiap sekolah,”katanya.

Katanya, bagi memperkasakan pengurusan dan kepimpinan sekolah, IAB membantu menyediakan satu kelompok pemimpin pelapis yang bersedia memikul tanggungjawab kepimpinan sekolah melalui Program Kelayakan Profesional Pemimpin Pendidikan Kebangsaan (NPQEL).

Hashim berkata, pemimpin pelapis itu akan diberi latihan selama lima bulan dengan menggunakan mod pengajian secara bersepadu iaitu bersemuka dan e-Pembelajaran.

Menurutnya, sejak 1999 sehingga akhir tahun lalu, IAB sudah berjaya melatih seramai 5,725 orang graduan NPQEL.

“Selain NPQEL, bakal pemimpin pendidikan akan melalui satu program transisi yang dikenali sebagai PRIme atau Program Residency dan Immerision selama 13 bulan sebagai persiapan menjawat jawatan pemimpin sekolah buat kali pertama.

“Dalam pada itu, IAB turut menawarkan kursus jangka pendek di bawah Pembangunan Profesional Berterusan (CPD) yang disusun mengikut enam domain utama berdasarkan Kompetensi Pempimpin Sekolah (KOMPAS),”katanya.

Katanya, pengetua dan guru besar boleh memohon kursus berkenaan bagi memantapkan lagi kompetensi mereka.

IAB turut mengelola persidangan peringkat antarabangsa yang dianjurkan secara dwitahunan iaitu Persidangan Kepemimpinan dan Pengurusan Pendidikan Serantau (RCELAM).

Hashim berkata, persidangan itu berperanan sebagai platform bagi pemimpin sekolah dalam dan luar negara untuk membicarakan isu-isu dan perkembangan semasa dalam bidang pendidikan.

Sementara itu, Hashim berkata, kajian impak yang dilakukan terhadap lulusan NPQEL mendapati pengetua dan guru besar yang dilatih menunjukkan kompetensi yang sangat tinggi dalam pengurusan dan kepimpinan sekolah.

Malah, katanya, mereka juga menunjukkan peningkatan pembangunan diri dalam menjalankan tugas iaitu dalam aspek Pengetahuan; Sikap dan Kemahiran selain kompetensi dalam hubungan sesama manusia dan merintis perubahan serta inovasi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Jun 2016 @ 10:09 AM