Pelanggan beratur di luar pejabat untuk Rayani Air bagi proses pemulangan wang tiket penerbangan di Seksyen 15, Shah Alam.
myMetro

Shah Alam: “Kami tunggu sehingga akhir bulan ini kerana syarikat itu berjanji membayar semula wang pembatalan penerbangan kepada semua penumpang secara berperingkat melalui cek tertunda bertarikh 30 Jun ini,” kata Nik Azida Nik Mahmood, 40.

Penumpang Rayani Air itu berkata, walaupun Jabatan Penerbangan Awam (DCA) bersama Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) membuat keputusan membatalkan Sijil Pengendali Udara (AOC) syarikat itu, mereka tidak bimbang kerana perjanjian dengan Rayani Air sudah dilakukan.

“Pada 24 Mei lalu, kami mengadakan perjumpaan dengan pemilik Rayani Air, Ravi Alagendrran dan mereka memaklumkan segala masalah kewangan yang dihadapi termasuk notis pembatalan penerbangan.

“Bagaimanapun kami tidak mahu mencampuri hal itu (pembatalan AOC) kerana kami hanya berurusan dengan syarikat Rayani Air yang masih lagi beroperasi sehingga kini,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Semalam, Ketua Pengarah DCA Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman mengumumkan pembatalan AOC syarikat itu.

Nik Azida berkata, ketika ini semua penumpang hanya tunggu dan lihat selain berharap ia dapat diselesaikan dengan baik kerana lesen syarikat Rayani Air tidak ditarik.

Menurutnya, penumpang dan wakil penumpang tidak boleh membuat sebarang tindakan secara melulu memandangkan mereka sudah bersetuju dengan syarat diberikan Rayani Air.

“Kami juga akan menyerahkan perkara ini (pembayaran pulangan) kepada pihak berkuasa jika ia masih belum diterima pada tarikh yang dijanjikan memandangkan isu ini dalam siasatan,” katanya.

Sementara itu, tinjauan di pejabat cawangan syarikat itu di Dataran Otomobil, di sini, mendapati ia masih beroperasi dan beberapa penumpang sedang menunggu di kaunter pembayaran pulangan wang pembatalan penerbangan untuk mendapatkan cek tertunda seperti dijanjikan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Jun 2016 @ 7:43 AM