Mohamad Halim (dua kanan) menunjukkan laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Kangsar.
myMetro

Kuala Kangsar: “Kuala Kangsar ini aman damai, jangan buat perangai buruk di sini, kita orang Kuale tak suka, apa saja boleh dibuat tapi dalam keadaan tenteram.

“Ini sampai nak bom orang dan perkara ini tidak sepatutnya berlaku kerana ia isu sangat sensitif,” kata seorang penduduk Kuala Kangsar, Mohamad Halim Mohamad Ali, 37.

Dia bersama rakan yang tidak mewakili mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengadakan sidang media selepas membuat aduan polis, kelmarin.

Dalam laporannya, dia meminta Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Rafizi Ramli memberi penjelasan mengenai ceramahnya yang didakwa mempunyai unsur ugutan mahu ‘bom’ Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Mohamad Halim mendakwa Rafizi dalam ceramahnya, Khamis lalu meminta penduduk Kuala Kangsar memilih calon Parti Amanah Negara (PAN) supaya boleh menghantar ‘bom’ kepada Najib.

Menurutnya, perkataan dikeluarkan Rafizi itu bukan saja boleh menggugat keamanan di Kuala Kangsar, malah menjejaskan keamanan di seluruh negara.

“Rafizi kata nak letak bom atom letup Najib, apa yang dicakapkan itu mendatangkan ancaman dan sepatutnya tidak berlaku perkara seperti ini oleh mana-mana parti pun.

“Perkara ini tidak patut disebut dan kami sensitif dengan perkara yang menggugat keamanan,” katanya.

Katanya, dia bersama rakan membuat empat laporan polis hingga kelmarin di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Kangsar dan Balai Polis Manong dan menjangkakan lebih banyak aduan dibuat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Jun 2016 @ 7:26 AM