Greece antara negara yang menjadi destinasi impian saya sejak di universiti lagi. Keindahan kepulauan Greece yang romantis, tapak peninggalan sejarah Acropolis dan Ancient Delphi serta pemikir, penulis dan artis terkenal Socrates, Hippocrates, Plato, Aristotle dan Herodotus antara tarikan utama untuk saya mengenali lebih dekat tamadun Yunani ini.

Krisis ekonomi yang melanda Greece sejak beberapa tahun lalu membantutkan sedikit semangat saya untuk ke sana. Malah, ketika membuat penyelidikan mengenai umat Islam di Greece, saya masih merasa cuak meneruskan penggambaran dokumentari ini. Pelbagai laporan mengenai demonstrasi rakyat Greece yang membuatkan saya merasakan tidak selamat untuk meneruskan hasrat itu.

Semua persepsi negatif saya berubah bila saya dan kru produksi menjejakkan kaki di Athens. Penduduknya ramah dan mesra serta mudah untuk kami berkomunikasi kerana mereka ‘terbuka’ untuk berbahasa Inggeris.

Kami juga merasa selamat bila bersiar-siar di waktu malam. Sememangnya sejak dulu lagi masyarakat Greece terkenal dengan keramahan dan sikap toleransi. Tidak hairanlah sehingga kini Greece menjadi pintu masuk kepada imigran yang mencari perlindungan dan kehidupan yang lebih selamat.

Kalau tahun lalu kami mendekati masyarakat Islam di Vienna dan Salzburg, kali ini kami ke Athens dan Komotini di Greece, dan Skopje dan Tetovo di Macedonia. Kalau Vienna dan Salzburg terkenal dengan senibina arkitek yang menakjubkan, Athens pula penuh dengan tapak warisan sejarah tamadun Yunani yang mengagumkan.

Selain tapak warisan UNESCO, banyak kesan peninggalan sejarah pemerintahan Othmaniah yang masih terjaga di Athens. Antaranya Tzistaraski Mosque yang kini dijadikan muzium seramik. Fethiye Mosque, (yang tidak lagi dijadikan masjid ), Ottoman Quarters di Plaka yang dibina pada abad ke 15 menggambarkan yang Islam sudah lama menjadi sebahagian kehidupan penduduk Greece.

Kehebatan ilmuan Islam dalam menterjemahkan falsafah Greek diakui Barat. Ketika zaman kegemilangan saintis Islam, ketika Barat tidak dapat memahami buku yang ditulis oleh Socrates, cendikiawan Islam Cordobalah yang menghuraikan konsep falsafah Greek. Falsafah Greek ini seterusnya dikaji di Baghdad.

Di Athens, kami berkenalan dengan Anna Stamou, mualaf berketurunan Greek. Anna dan suaminya Naim El-Ghandour yang berketurunan Mesir berperanan penting dalam usaha pembinaan masjid di Athens.

Isu Masjid Athens sudah lama dibahaskan. Walaupun kerajaan Greece meluluskan peruntukan membina masjid, namun sehingga kini pembinaannya masih tertangguh disebabkan banyak halangan dan tentangan. Kami berkunjung ke tapak masjid yang bakal dibina yang dulunya digunakan sebagai bengkel kapal tentera laut.

Ada juga beberapa bangunan yang dijadikan masjid di Athens. Namun, ia hanya boleh dikenali sebagai ‘Pusat Islam’. Anna membawa kami ke Arab-Hellenic Centre iaitu sebuah gudang dua tingkat yang dijadikan masjid. Pusat Arab-Hellenic yang dibiayai oleh seorang jutawan Arab ini, lengkap dengan bilik kuliah.

Menurut Anna, selain masjid umat Islam di Athens juga tidak mempunyai tanah perkuburan.

Umat Islam yang meninggal dunia dibawa ke daerah Thrace, yang terletak enam jam perjalanan dengan berkereta ke utara Greece untuk disemadikan. Ini menyulitkan bagi mereka yang kurang berkemampuan.

Namun, cabaran ini tidak pernah melemahkan semangat Anna dan umat Islam untuk terus mendesak kerajaan Greece supaya sebuah masjid rasmi didirikan di Athens.

Semoga Impian Anna untuk melihat sebuah masjid rasmi Athens dengan imam yang bertauliah akan tercapai jua.

Ketahui seterusnya cabaran dan kesungguhan Anna dalam ‘Sounds of Muslims’ pada jam 6.30 petang ini di TV9

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Jun 2016 @ 9:42 AM