Husain (kanan) bersama Ahmad Salim memilih kreativiti helaian akhbar untuk Peraduan Mudah Menang Harian Metro, semalam.
Asrizal Aris
asrizal.aris@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Impian seorang pembantu tadbir membawa anaknya ke Legoland termakbul selepas diumumkan sebagai pemenang empat tiket ke taman tema itu dalam peraduan Mudah Menang Harian Metro (HM) Siri 1 Minggu Kelima.

Norhashimah Md Ashari, 34, berkata, anak tunggalnya yang berusia dua tahun adalah penggemar permainan lego dan dia memasang hasrat membawa anak kesayangannya ke Legoland.

Katanya, dia sering bertanyakan harga tiket masuk ke taman tema itu kepada rakan-rakan namun disebabkan harganya agak tinggi, dia dan suami menangguhkan impian itu.

“Memang tidak sangka saya menang empat tiket ke Legoland bernilai RM900 kerana sejak bertahun-tahun aktif menyertai peraduan di Harian Metro, hanya saguhati pernah dimenangi.

“Bagi peraduan kali ini, saya menghantar penyertaan setiap minggu tanpa putus asa dan bersyukur usaha ini membuahkan hasil,” katanya.

Pemilihan pemenang Peraduan Mudah Menang HM bagi Siri 1 Minggu Kelima dibuat Timbalan Pengarang Kumpulan HM, Ahmad @ Salim Bachok dan Pengarang Bersekutu Rencana HM,
Husain Jahit.

Enam pemenang bertuah membawa pulang wang tunai RM500 dimenangi Ishak Ismail dari Klang, Selangor, Mohd Reyza Rahizad (Selangor), Raja Zainah Daingkadir (Negeri Sembilan), Mohd Rizduwan Rusli (Kuala Lumpur), Abdul Hadi Zulkiply (Selangor) dan Abdul Aziz Mohd Soffian (Kuala Lumpur).

Sementara itu, pemenang bagi penyertaan paling kreatif yang membawa pulang wang tunai RM1,000 dimenangi Hamizan Che Husain dari Shah Alam, Selangor.

Pemilihan pemenang Peraduan Mudah Menang HM Siri 1 Minggu Keenam dibuat serentak dengan pemilihan pemenang hadiah utama Siri 1 iaitu kereta Peugeot 5008 pada minggu hadapan. Peraduan bagi Siri 2 akan bermula pada 11 Julai 2016.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Jun 2016 @ 9:12 AM