SYED Saleh
Meor Riduwan Meor Ahmad
mriduwan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Proses pemilihan jemaah haji yang layak menunaikan rukun Islam kelima ke Makkah setiap tahun dilakukan melalui sistem giliran sistematik oleh Tabung Haji (TH) dan tanpa pilih kasih.

Pengurus Besar Kanan Haji Datuk Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, sistem giliran berkenaan turut diaudit oleh Jabatan Audit Negara (JAN) serta dipantau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Menurutnya, wujud kekeliruan dalam kalangan masyarakat kononnya berlaku pilih kasih dalam memilih bakal jemaah haji berpunca daripada kegagalan memahami sistem dan prosedur haji dilaksanakan agensi itu.

“Untuk makluman setiap tahun TH sudah ada senarai nama jemaah yang layak dan mereka diberi surat tawaran haji yang bergantung kepada sistem giliran dengan keutamaan kepada mereka yang mendaftar awal.

“Bila individu daftar pergi haji dia akan dapat slip pendaftaran haji menyatakan petunjuk tahun peruntukan pergi untuk haji.

“Kuota asas kita 27,900 jemaah dan ditentukan oleh kerajaan Arab Saudi, bukan kita (TH) saja-saja buat. Namun, tahun ini kuota ini dikurangkan kepada 22,320 jemaah atas sebab tertentu seperti proses menaiktaraf Masjidil Haram,” katanya pada sidang akhbar di ibu pejabat TH, di sini, semalam.

Menurutnya, difahamkan jumlah kuota berkenaan akan ditambah, justeru tempoh menunggu bagi 2.16 juta orang yang mendaftar akan dikurangkan.

“Jumlah pendeposit TH seramai 8.9 juta orang. Mereka yang merayu ini diberi peluang apabila ada kekosongan disebabkan ada jemaah menunda mengerjakan haji kerana faktor kesihatan, rasa tidak dapat pergi dan mungkin atas sebab peribadi, anak-anak dan sebagainya.

“Jadi, mereka tidak mengambil giliran orang lain tetapi hanya mengisi kekosongan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Jun 2016 @ 9:05 AM