JAMBATAN Kemubu yang sudah dibaik pulih. Gambar kecil, penduduk melihat jambatan yang runtuh akibat banjir besar.
Asrizal Aris
asrizal.aris@hmetro.com.my


Kuala Krai: Walaupun lebih setahun berlalu, tragedi banjir besar yang melanda Kelantan terutamanya Kuala Krai masih segar di ingatan buat penduduk setempat.

Siapa sangka, jambatan landasan kereta api seberat 200 tan dihanyutkan arus deras Sungai Kelantan ketika peristiwa 22 Disember 2014 itu berlaku.

Jambatan diberi nama ‘Mr Peel Bridge of Kemubu’ itu menghubungkan laluan kereta api dari stesen Gua Musang ke Kemubu dan kini pemandangan sekitar jambatan berkenaan sudah bertukar wajah.

Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dengan persetujuan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) melakukan kerja menaik taraf jambatan berkenaan untuk kemudahan penduduk setempat.

Proses menaik taraf jambatan yang menelan kos RM17.5 juta itu merangkumi tiga fasa dan setakat ini, kira-kira 60 peratus proses naik taraf selesai dijalankan.

Presiden KTMB Datuk Sarbini Tijan berkata, fasa pertama adalah membaiki landasan kereta api diikuti menaik taraf untuk kegunaan motosikal dan pejalan kaki untuk penduduk setempat dan ketiga, pengukuhan jambatan itu.

Katanya, proses naik taraf jambatan fasa pertama yang siap pada 30 Mac lalu membolehkan laluan kereta api dari Johor Bahru, Johor ke Tumpat mula beroperasi, 19 Mei lalu.

“Setakat ini, proses naik taraf jambatan sudah mencapai lebih 50 peratus dan kami sedang fokus kepada kerja fasa kedua.

“Pada masa sama, kami sedang merangka kerja untuk mengukuhkan lagi jambatan itu daripada 16 tan padu kepada 20 tan padu supaya ia terjamin (kekukuhannya) jika digunakan secara kerap,” katanya.

Menurut beliau, pihaknya juga masih dalam perbincangan untuk memulakan semula operasi kereta api bagi perkhidmatan Kuala Lumpur ke Tumpat.

Sarbini berkata, perancangan menaik taraf jambatan itu juga dibuat berikutan persetujuan kerajaan untuk menyediakan 13 set kereta api diesel elektrik (Diesel Electric Multiple Unit) yang dijangka beroperasi di pantai timur penghujung 2019.

Sementara itu, Pengurus Besar Laluan Landasan KTMB Mohd Ramli Mohd Noh berkata, proses kerja yang paling mencabar ketika menambah baik jambatan berkenaan adalah menaikkan semula badan jambatan yang dihanyutkan.

“Selepas menaikkan badan jambatan, proses mengukuhkan tiang dan siap siaga laluan sepanjang 200 meter dilakukan.

“Kini, landasan kereta api boleh digunakan dengan kelajuan maksimum 80 kilometer sejam dan dijangka laluan motosikal serta pejalan kaki akan siap pada hujung tahun ini,” katanya yang juga ketua projek naik taraf jambatan berkenaan.

Menurut beliau, jambatan landasan kereta api Mr Peel Bridge of Kemubu itu akan menjadi sejarah buat penduduk setempat di Kuala Krai kerana ia antara peninggalan yang masih ada sejak tragedi banjir besar yang meranapkan lebih 30 rumah di kawasan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Jun 2016 @ 10:23 AM