ORANG ramai melihat keadaan treler dipandu Muhamad Noh (gambar bulat).

Kampar: Seorang lelaki maut selepas treler dipandu hilang kawalan lalu terbabas ke dalam hutan di Kilometer 3.4, Jalan Kuala Dipang menghala ke Malim Nawar, dekat sini semalam.

Dalam kejadian pada jam 12.10 tengah hari, mangsa, Muhamad Noh Misbah, 33, yang memandu treler jenis Volvo maut di tempat kejadian selepas tercampak keluar dari kenderaannya akibat merempuh pembahagi jalan.

Ketua Polis Daerah Superintendan Ng Kong Soon berkata, siasatan awal mendapati mangsa dalam perjalanan dari Kuala Dipang menghala ke Malim Nawar sebelum kenderaannya hilang kawalan dan melanggar pembahagi jalan.

“Kenderaan mangsa terbabas ke dalam hutan dan mangsa tercampak keluar dari kenderaannya.

“Siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1986,” katanya.

Beliau berkata, berikutan kejadian itu kenderaan yang dipandu mangsa mengalami kerosakan teruk di bahagian hadapan.

Katanya, keadaan jalan lurus sehala dan cuaca baik ketika kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Jun 2016 @ 11:43 AM