Mohd Asid diiringi polis ke Mahkamah Majistret, semalam.
Izlaily Nurul Ain Hussein
izlaily@hmetro.com.my


Johor Bahru: Seorang ejen hartanah hanya mengangguk dan membuat pengakuan bersalah bagi 30 pertuduhan menipu membabitkan pembelian serta pelaburan rumah lelong yang dihadapinya di Mahkamah Majistret, di sini, semalam.

Pengakuan bersalah itu dibuat tertuduh, Muhammad Asid Abd Jalil, 35, di hadapan Majistret Mohd Azlan Shah Mohd Allias sebelum mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 16 tahun dan 30 sebatan.

Berdasarkan semua kertas pertuduhan, bapa kepada empat anak hasil perkahwinan dengan dua isteri didakwa dengan curang memperdaya 30 individu supaya menyerahkan barangan keseluruhan RM382,117 termasuk wang melalui akaun bank serta dua keping syiling dan dua rantai emas.

Keseluruhan wang dan barang kemas itu adalah sebagai pembelian serta pelaburan rumah lelong yang ditawarkan tertuduh, yang mana mangsa tidak akan menyerahkannya jika tahu mereka diperdaya.

Semua perbuatan itu dilakukan tertuduh di sekitar Johor Bahru antara Mei 2013 hingga 2 April lalu dan dia didakwa mengikut Seksyen 420, Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh juga didenda, jika sabit kesalahan.

Prosiding pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Fithril Hakim Ab Jalil itu berlangsung kira-kira sejam.

Sebelum hukuman dijatuhkan, peguam Mohamad Isa Mohamad Basir mewakili tertuduh memohon hukuman minimum kepada anak guamnya dan berbentuk satu pengajaran.

“Tertuduh adalah penanggung tunggal keluarga dengan dua isteri dan empat anak.

“Kedua-dua isterinya tidak bekerja, malah isteri keduanya dalam pantang selepas melahirkan anak bongsu mereka yang belum berusia 10 hari,” katanya.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 12 bulan serta satu sebatan bagi setiap pertuduhan yang membabitkan 16 kertas siasatan.

Bagaimanapun, mahkamah memerintahkan hukuman penjara berjalan serentak bagi pertuduhan dalam satu kertas siasatan, namun ia dilaksanakan secara berasingan selepas tamat hukuman bagi setiap kertas siasatan.

Mohd Azlan Shah berkata, hukuman yang dijatuhkan itu mengambil kira faktor keseriusan perbuatan dilakukan tertuduh kerana ia membabitkan jumlah kerugian yang besar dan mangsa berlainan.

“Ini sebagai satu pengajaran bukan saja kepada tertuduh, tetapi kepada masyarakat supaya tidak melakukan perkara sama,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Jun 2016 @ 11:43 AM