Mohd Hashim (kiri) membuat lawatandi pusat penamaan calon PRK Parlimen Besar di Dewan Seri Bernam.
myMetro

Sungai Besar: “Sempena bulan puasa, Ramadan yang mulia ini, calon-calon janganlah caci-mencaci dan maki hamun,” tegas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah.

Sambil mengingatkan semua calon dan penyokong parti yang bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar mematuhi garis panduan sepanjang tempoh berkempen, beliau mahu suasana pencalonan hari ini juga berjalan dengan penuh harmoni.

Katanya, Ramadan bulan ibadah dan sewajarnya semua parti bertanding dengan berhemah.

“Bertandinglah dalam suasana kekitaan, saling hormat-menghormati.

“Elak menghina sesama sendiri kerana watak anda diperhatikan bukan saja oleh pengundi malah orang luar yang datang,” kata beliau.

Beliau bercakap pada sidang media selepas melawat pusat penamaan calon PRK Parlimen Sungai Besar di Dewan Sri Bernam di sini, semalam.

Dalam pada itu, Mohd Hashim berkata, 13 borang pencalonan dijual bagi PRK Parlimen Sungai Besar.

Katanya, bagi Parlimen Kuala Kangsar pula 16 borang dijual kepada pelbagai wakil parti dan individu.

“Tetapi kita hanya mengetahui jumlah sebenar calon pada hari penamaan esok (hari ini).

“Bilangan borang tidak menggambarkan jumlah yang bertanding,” katanya.

Mengenai proses penamaan calon, beliau menasihatkan semua calon datang seawal mungkin supaya mereka berjaya menghantar borang masing-masing.

Katanya, walaupun masa pencalonan bermula jam 9 pagi sebelum tamat sejam kemudian tetapi calon bersama pencadang dan penyokong perlu datang awal bagi mengelakkan mereka terperangkap dalam kesesakan jalan raya.

“Kita lihat kawasan ini pun tak besar, saya bimbang calon tak sempat hadir pada waktu yang ditetapkan, jadi datang awal,” katanya.

Beliau berkata, jumlah pengundi yang akan menunaikan tanggungjawab mereka di Parlimen ini ialah 42,655 orang dan Kuala Kangsar seramai 32,949 orang.

“Pengundi dinasihatkan mengenal pasti pusat pengundian mereka dengan melayari laman web www.spr.gov.my,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Jun 2016 @ 5:13 AM