SANI Salleh
Iskandar Shah Mohamed
iskandar@hmetro.com.my

Klang: Sani United Berhad (Sani United) melangkah setapak lagi dalam industri pengangkutan awam apabila bakal melancarkan perkhidmatan feri berkelajuan tinggi pertama di negara ini pada Julai tahun depan.

Feri dua tingkat dinamakan Sani Feri itu akan membawa penumpang dari Jeti Kuala Kedah ke Langkawi, Kedah bagi kedua-dua hala perjalanan.

Pengasas Sani United Datuk Sani Salleh berkata, projek terbaharu pihaknya itu membabitkan perkhidmatan dua feri dengan nilai pelaburan berjumlah RM50 juta.

“Feri itu boleh memuatkan 450 penumpang merangkumi dua kelas yang ditawarkan. Seramai 400 penumpang bagi kelas Ekonomi manakala 50 lagi untuk kelas Bisnes.

“Kedua-dua feri itu adalah dua tingkat iaitu bahagian bawah untuk kelas Ekonomi manakala atasnya bagi kelas Bisnes. Ia bagi menjamin keselesaan penumpang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis penyerahan Dana Mudahcara Di Bawah Inisiatif Dana Mudahcara Unit Peneraju Bumiputera (TERAJU) di Klang Sentral di sini, semalam.

Majlis itu dirasmikan Timbalan Pengerusi Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) yang juga Ahli Majlis Ekonomi Bumiputera (MEB) Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif TERAJU Datuk Husni Salleh.

Menurut Sani, perkhidmatan feri itu akan memendekkan lagi waktu perjalanan berbanding feri sedia ada ketika ini.

“Kebiasaannya, bagi perjalanan Kuala Kedah ke Langkawi itu, feri akan mengambil masa selama satu jam 45 minit hingga dua jam. Namun, Sani Feri ini hanya mengambil masa selama satu jam.

“Kami baru mendapat kelulusan daripada Jabatan Laut bagi memulakan operasi di kawasan itu,” katanya yang turut memohon kerajaan negeri menaik taraf Terminal Feri di Kuala Kedah bagi kemudahan dan keselesaan pengguna.

Ketika ditanya mengenai persediaan pihaknya menjelang sambutan Aidilfitri, beliau berkata, Sani Ekspress bercadang menambah jumlah trip untuk kemudahan pengguna pulang ke kampung.

“Kami sebelum ini hanya membuat dua trip bagi semua destinasi di seluruh negara. Kali ini, kami akan menambahnya kepada tiga dengan menggunakan semua 50 bas termasuk yang baru saja dibeli,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Jun 2016 @ 5:11 AM