Izlaily Nurul Ain Hussein
izlaily@hmetro.com.my

Johor Bahru: Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Johor mengesahkan cawangan trafik negeri ini atau Bukit Aman tiada perancangan menjalankan operasi saman tertunggak terhadap pemandu Singapura dalam tempoh terdekat seperti didakwa segelintir individu, baru-baru ini.

Ketua Polis Johor Datuk Wan Ahmad Najmuddin Mohd berkata, dakwaan yang diviralkan menerusi media sosial Facebook (FB) dan aplikasi WhatsApp itu berkemungkinan operasi saman tertunggak warga asing (OSTWA) yang dijalankan cawangan trafik Johor dan Bukit Aman, tahun lalu.

Beliau berkata, OSTWA pernah dijalankan di dua lokasi iaitu di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Link Kedua dan R&R Pandan di Lebuhraya Lingkaran Penyuraian Timur (EDL) pada 27 Disember 2014 hingga 1 Januari 2015 serta 12 Jun hingga 15 Jun 2015.

Wan Ahmad Najmuddin menafikan dakwaan diviralkan berhubung pesalah trafik yang mempunyai saman tertunggak seolah-olah dipaksa menjelaskan saman di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan (JBS).

“Dakwaan berhubung warga Singapura diarah membuat bayaran saman tertunggak di IPD JBS tidak benar kerana kemudahan pembayaran menerusi kad kredit dan mesin MyEG Services Berhad (MyEG) ada disediakan di dua lokasi operasi berkenaan.

“Malah anggota polis trafik bertugas ketika operasi dijalankan juga bertindak secara bertimbang rasa. Mereka yang tidak cukup wang tidak dipaksa membayar keseluruhan jumlah saman, sebaliknya sekadar membayar waran tangkap saja,” katanya kelmarin.

Beliau berkata, operasi terbabit bertujuan memberi kesedaran kepada pesalah trafik dari negara asing supaya melaksanakan tanggungjawab dengan menyelesaikan saman tertunggak masing-masing.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Jun 2016 @ 5:09 AM