DR Habibah menunjukkan buku Dasar Memartabatkan Bahasa Melayu Memperkukuh Bahasa Inggeris di Kementerian Pendidikan, Putrajaya.
Siti A’isyah Sukaimi
sitiaisyah@hmetro.com.my


Putrajaya: Kementerian Pendidikan komited terhadap usaha dan langkah bagi memastikan pelaksanaan Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI) bukan saja melahirkan pelajar yang memperoleh kredit semata-mata, malah mampu menguasai kedua-dua bahasa berkenaan sebaiknya.

Pengarah Eksekutif Unit Pelaksanaan dan Prestasi Pendidikan (PADU) Kementerian Pendidikan Dr Habibah Abdul Rahim berkata, bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan yang menjadi alat perpaduan, perhubungan dan bahasa ilmu ke arah membina negara bangsa, sekali gus mencapai hasrat 1Malaysia.

Menurutnya, bagi bahasa Inggeris, tujuan utama memperkukuhkannya adalah kerana ia bahasa komunikasi antarabangsa yang perlu dikuasai dengan baik dan berkesan untuk membolehkan penerokaan pelbagai ilmu untuk bersaing di peringkat nasional dan global.

Beliau berkata, walaupun bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan dan rasmi, ia digunakan sebagai bahasa perpaduan dalam menyatukan masyarakat pelbagai kaum, malah mereka juga bebas untuk menggunakan bahasa masing-masing.

“Jika dilihat melalui Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2015, kita dapati garis asas bahasa Melayu memuaskan misalnya, keputusan tahun lalu di peringkat Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) menunjukkan 92 peratus murid menguasai bahasa itu manakala, 91 peratus pelajar di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Penguasaan agak tinggi di peringkat rendah berterusan hingga ke peringkat menengah, tetapi aspirasi kita melalui pelan pendidikan ini lebih tinggi iaitu sekurang-kurangnya minimum kredit dengan penguasaan yang lebih baik.

“Dari segi mendapat peratusan kredit bagi bahasa Melayu adalah 70 peratus pada 2015 untuk peringkat SPM dan kita mahu mencapai 90 peratus menjelang 2025, sekali gus memerlukan langkah lebih strategik bagi meningkatkannya,” katanya ketika ditemui.

Habibah berkata, bagi mencapai 90 peratus pelajar sekurang-kurangnya kredit dalam Bahasa Melayu SPM perlu bermula dari awal kerana kemahiran berbahasa tidak boleh menerusi hafalan.

“Program Saringan Literasi dan Numerasi (LINUS) bahasa Melayu diperkenalkan pada 2010 supaya sasaran kita kecuali murid berkeperluan khas memperolehi 100 peratus penguasaan literasi dan numerasi pada Tahun 3 sekolah rendah..

“Sepanjang tiga tahun murid berada di sekolah rendah, kita bukan setakat melakukan saringan malah, pemulihan dan mereka yang tidak mencapai tahap tertentu dalam penguasaan literasi dan numerasi, turut disediakan guru pemulihan di sekolah mereka,”katanya.

Habibah berkata, Kementerian Pendidikan turut melaksanakan ujian kepada guru bahasa Melayu dan untuk tahun lalu, ia memfokuskan kepada guru bukan opsyen.

Katanya, beberapa perkara baharu diperkenalkan misalnya, mengadakan Makmal Bahasa Melayu untuk terus memartabatkan bahasa berkenaan dan ia memberi fokus utama dan salah satu daripadanya berkaitan kepada lima perkara utama kerangka piawaian bahasa Melayu.

Untuk bahasa Inggeris, Habibah berkata, tahap penguasaan pelajar lebih rendah berbanding mata pelajaran teras yang lain dan kementerian giat melaksanakan usaha bagi mempertingkatkannya.

Katanya, dari segi pencapaian di peringkat UPSR, 78 peratus murid menguasai bahasa Inggeris manakala, 76 peratus adalah bagi peringkat SPM dan kedua-dua peratusan itu direkodkan pada tahun lalu.

“Bagi mencapai tanda aras ke tahap lebih tinggi berdasarkan ‘Common European Framework of Reference for Languages’ (CEFR), tahap usaha yang dilaksanakan itu perlu dipertingkatkan.

“Menerusi inisiatif ini, Kementerian telah merancang apa yang hendak dilakukan sama ada dari segi pembangunan kurikulum atau memastikan latihan kepada guru supaya pengajaran dan pembelajaran lebh berkesan dalam bilik darjah,”katanya.

Dalam mencapai sasaran itu, Habibah berkata, Kementerian Pendidikan memperkenalkan Dual Language Programme (DLP) dengan tahun ini sebanyak 296 sekolah rendah dan menengah menawarkan mata pelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris.

“Ini menjadi pilihan kepada sekolah dan ibu bapa berdasarkan kriteria iaitu sekolah perlu mempunyai sumber mencukupi dari segi buku teks, bahan rujukan, dokumen kurikulum dan pentaksiran.

“Selain itu, kesediaan sekolah berkenaan bukan saja dari segi kepemimpinan malah, guru yang mengajar Sains dan

Matematik dalam bahasa Inggeris serta sokongan dan persetujuan ibu bapa iaitu mereka memilih anak masing-masing mengikuti mata pelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa itu sangat penting,”katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Jun 2016 @ 5:24 AM