MINYAK masak berselerak di tepi jalan.

Nilai: Muatan minyak masak bertaburan atas jalan raya apabila sebuah lori tiga tan terbalik selepas dirempuh lori tangki dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan di Kilometer 284, Lebuhraya Utara Selatan, arah selatan berhampiran susur keluar Tol Nilai, di sini, semalam.

Kemalangan berlaku jam 6.15 pagi dipercayai berpunca daripada sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) terbabas lalu terbalik di tengah lebuh raya.

Pada masa sama, sebuah lori tangki dan motosikal melalui jalan terbabit cuba mengelak dengan pemandunya membrek secara mengejut menyebabkan kedua-dua kenderaan itu terbabas.

Ketua Polis Daerah Nilai Superintendan Zaldino Zaludin berkata, ketika itu, terdapat sebuah lori tiga tan di belakang lori tangki dan pemandunya juga membrek secara mengejut bagi mengelak daripada merempuh kenderaan di hadapannya.

Beliau berkata, bagaimanapun lori tiga tan itu kemudian dirempuh sebuah lori kontena dari belakang menyebabkan kenderaan itu terbalik.

“Rempuhan berkenaan menyebabkan muatan minyak masak bertaburan dan pemandu serta kelindannya masing-masing berusia 40-an cedera.

“Kami masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian berlaku,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Nilai Mohd Anuar Awang berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.28 pagi dan mengerahkan sebuah jentera bersama satu Unit Anggota Penyelamat dan Paramedik (EMRS) dengan 10 anggota ke lokasi.

“Sebaik tiba, kedua-dua kaki kelindan lori tiga tan tersepit dan kami mengambil masa tujuh minit untuk mengeluarkannya.

“Mangsa kemudian dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban bagi mendapatkan rawatan lanjut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Jun 2016 @ 10:22 AM