PERWAKILAN yang menyertai Persidangan Agama Menentang Keganasan 2016 di Astana, semalam.
Mohd Jamilul Anbia Md Denim dari Astana dan Kazakhstan
anbia@hmetro.com.my


Agenda utama memerangi pengganas Daish di peringkat global hanya mampu dicapai melalui langkah membasmi idelogi ekstremis itu meresapi remaja dan belia di seluruh dunia.

Perkara itu diputuskan 77 perwakilan pada Persidangan Agama Menentang Keganasan 2016 di Atrium Hall of Palace of Peace and Accord, di sini, semalam.

Difahamkan pemimpin Daish giat memujuk dan merekrut golongan muda pelbagai negara menyertai perjuangan mereka di Syria dan Iraq.

Militan Daish bukan hanya menggunakan perang media sosial untuk menarik golongan muda Asia Barat atau Asia Timur, malah kian ramai belia Eropah, Amerika Syarikat dan Australia termakan pujukan menyertai generasi baru militan itu.

Wakil persidangan, Pengarah Bersekutu Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Matthew Hodes berkata, gerakan Daish hampir mustahil dihapuskan jika golongan remaja dan belia terus dihasut menyertai gerakan itu.

Difahamkan 31,000 warga asing kebanyakannya belia menyertai Daish sejak 18 bulan lalu dan ia diberi perhatian serius.

“Kuasa dunia perlu menunjukkan komitmen bersama bagi menangani bencana keganasan Daish.

“Fokus penuh perlu diberikan kepada golongan muda yang mudah dipengaruhi. Di sini letaknya peranan ketua agama memberikan pemahaman terhadap perjuangan Daish serta kesannya kepada keamanan,” katanya pada sesi penggulungan semalam.

Menurutnya, ketua setiap agama di dunia pihak paling berpengaruh menghentikan keganasan atau usaha membentuk kebencian terhadap Islam dan penganutnya.

Malah, beliau menyelar pengamal media yang sengaja memainkan isu sensitiviti agama serta tidak mempromosikan toleransi antara agama.

Pandangan sama turut dilontarkan Setiausaha Agung Akademi Penyelidikan Islam Universiti Al-Azhar Mesir, Dr Mohyeldin Afefe Ahmed Abdelmaged yang mengakui landskap dunia boleh berubah jika isu Daish terus berlarutan, selain memberi persepsi salah pada Islam.

Menurutnya, Islam yang dikaitkan dengan agama toleransi sebaliknya dilabel sebagai agama pengganas dan penjenayah perang.

“Ini jauh menyimpang kerana Nabi Muhammad SAW tidak pernah mengajar kekerasan dan membunuh wanita atau kanak-kanak seperti dilakukan Daish,” katanya.

Presiden Kazakhstan Nursultan Nazarbayev berkata ancaman keganasan mengubah konsep keselamatan antarabangsa secara mendadak, dan adalah perlu untuk meningkatkan kerjasama bagi menangani ancaman global itu secara lebih agresif.

Sementara itu pada akhir persidangan semalam, delegasi memutuskan persidangan seterusnya kali ke-16 akan diadakan pada 9 Ogos 2017, di sini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Jun 2016 @ 7:35 AM