Anggota RAMD mengusung keranda ketika upacara penyerahan 32 rangka jasad askar Australia untuk dibawa pulang, semalam.
myMetro

Subang: “Datuk inspirasi saya menyertai bidang ketenteraan hingga saya berasa bidang ini sebati dalam diri.”

Itu kata-kata semangat Koperal Christopher Bowtell, 27, cucu kepada Koperal Robert Walter Bowtell, anggota tentera Australia yang terkorban ketika perang di Vietnam pada 1966.

Malah, beliau menganggap datuknya wira dan sumber inspirasi biarpun pada waktu itu dia belum dilahirkan.

Menurut Christopher yang bertugas di bahagian kejuruteraan peperangan Angkatan Pertahanan Australia, dia dan ahli keluarga bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan Malaysia kerana akhirnya rangka mayat datuknya bersama 31 warga Australia yang disemadikan di tanah perkuburan Komanwel Kem Terendak, Melaka, dibawa pulang.

“Sebelum ini, saya dan keluarga berharap rangka dia (Robert Bowtell) dibawa dan dikebumikan di Australia. Impian kami tercapai melalui rundingan kerajaan Australia dan Malaysia,” katanya selepas upacara penyerahan 32 rangka warga Australia di Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), di sini, semalam.

Christopher yang berkhidmat tujuh tahun dalam Angkatan Pertahanan Australia memberitahu, rangka mayat datuknya dijangka disemadikan di tanah perkuburan Maquarie Park, North Ryde Harbour Wood, Sydney.

Terdahulu, upacara rasmi penyerahan dalam Operasi ‘Reunites’ disempurnakan Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohd Johari Baharum yang menyaksikan pemindahan keranda 24 anggota tentera dan lapan anggota keluarga ke dalam dua pesawat Australia model C-17.

Majlis penuh istiadat itu bermula jam 9.10 pagi menyaksikan 224 anggota Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) membawa keluar 32 keranda yang dibawa menggunakan 32 kenderaan.

Semua keranda itu diserahkan kepada 61 anggota Angkatan Pertahanan Australia sebelum dibawa masuk ke dalam pesawat C-17.

Operasi ‘Reunites’adalah kerjasama kerajaan Malaysia dan Australia susulan pengumuman dibuat kerajaan Australia yang mahu memindahkan rangka anggota tenteranya, baru-baru ini.

Dalam majlis penyerahan 32 rangka itu, Australia diwakili Pesuruhjayanya Mejar Jeneral (B) Mark Andrew Kelly sementara Malaysia diwakili Mohd Johari.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Jun 2016 @ 9:17 AM