PERSIDANGAN Agama Menentang Keganasan 2016 membabitkan 77 perwakilan yang diadakan di Atrium Hall of Palace of Peace and Accord di sini, bermula semalam.
Mohd Jamilul Anbia Md Denim dari Astana dan Kazakhstan
anbia@hmetro.com.my

Astana: Keganasan membabitkan pelampau agama terutama gerakan militan Daish dijangka bakal menjadi ancaman utama terhadap kestabilan dan keamanan dunia melangkaui isu kemiskinan atau wabak penyakit maut.

Perkara ini ditekankan 77 perwakilan antarabangsa pada Persidangan Agama Menentang Keganasan 2016 yang diadakan di Atrium Hall of Palace of Peace and Accord di sini, bermula semalam.

Presiden Kazakhstan Nursultan Nazarbayev berkata, ancaman militan Daish terbukti mampu merencatkan perkembangan politik dan ekonomi yang akhirnya menjahanamkan keamanan dunia.

Menurutnya, persidangan dan dialog membabitkan wakil setiap agama utama di dunia itu diharap menjadi titik tolak terhadap satu kesepakatan serta solusi menghadapi ancaman Daish amnya.

Beliau dalam ucapannya berkata, kegiatan mempromosi jenayah keganasan dan agenda Daish semakin kritikal ditambah dengan wujudnya teknologi media sosial.

“Serangan pengganas berlaku di seluruh dunia. Ia makin berkembang, radikal, disokong dari segi kewangan dan kian sukar dijejaki.

“Justeru semua negara di dunia perlu mencari mekanisme dan strategi komprehensif untuk dijadikan ‘senjata baru’ menangani ancaman militan Daish,” katanya.

Ternyata pentas persidangan dialog dicetuskan Kazakhstan sejak tahun 2003 itu dijadikan platform mencari kesepakatan dalam menangani konflik keganasan berpanjangan.

Berdasarkan kata sepakat dicapai, semua perwakilan membabitkan enam agama utama dunia termasuk wakil agama Judaism dianut Yahudi bersetuju isu keganasan tidak harus dikaitkan dengan Islam dan ajaran dibawa Nabi Muhammad SAW.

Malah, isu menangani keganasan bukan terletak di bahu sesebuah negara sebaliknya seluruh negara di dunia bertanggungjawab menyelesaikan isu ini demi keamanan sejagat.

Seorang perwakilan Majlis Persekutuan Kebangsaan Emiriah Arab Bersatu (UAE) Dr Amal Abdulla Alqubaisi ditemui berkata, manifesto kerajaan Kazakhstan memperjuangkan slogan antipeperangan, antisenjata nuklear dan antipengganas perlu disokong penuh negara lain.

Menurutnya, perbincangan melalui persidangan itu mampu menyumbang sesuatu ke arah pengurusan krisis menghadapi isu pengganas yang kian ekstrem dan kompleks.

“Penyakit (pengganas Daish) ini sudah menjadi wabak besar krisis dan tragedi kemanusiaan yang mengubah sejarah dunia,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Jun 2016 @ 8:45 AM