LIMA individu diiringi anggota polis keluar dari Mahkamah Majistret, semalam.
Sarah Zulkifli
am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Lima ulat parkir termasuk seorang warga Sri Lanka masing-masing didenda RM500 oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam, selepas mengaku bersalah melakukan perbuatan itu dengan mendesak pemandu kereta membayar wang di sekitar sini, minggu lalu.

Majistret Noorul Fhaiez Mohd Nayan menjatuhkan hukuman itu terhadap Zainal Samat, 53, A Narasinga Rao, 37, Puwakdandawe Muhandiramge Geeth Sampath, 40, juga warga Sri Lanka, G Joseph Mano,33, dan G Vikramraj, 30, selepas mereka membuat pengakuan berkenaan sebaik pertuduhan dibacakan.

Mahkamah turut memerintahkan mereka menjalani hukuman penjara lima hari jika gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan dibacakan secara berasingan, Zainal dan Narasinga didakwa mengarahkan pemandu kereta WA 9740 V dan WJM 8187 meletakkan kenderaan mereka secara tidak sah di Jalan Medan Tuanku, di sini, jam 9.55 malam, 27 Mei lalu dan di Jalan 1/68B, Off Jalan Ampang, jam 2.20 pagi, pada 28 Mei lalu.

Selain itu, Puwakdandawe didakwa mendesak pemandu kereta nombor pendaftaran WUW 1592 jenis Nissan Teana untuk meletakkan kereta dan menuntut pembayaran di Jalan Metro Pudu, di sini, jam 12.45 tengah malam pada 28 Mei lalu.

Bagi Joseph dan Vikramraj, kedua-duanya didakwa dengan niat bersama mendesak pemandu kenderaan dan menuntut pembayaran wang selepas meletakkan kereta di tempat itu, jam 11.50 malam, pada 27 Mei di Jalan Metro Pudu, di sini.

Dakwaan dilakukan mengikut Seksyen 50(3) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) yang boleh dihukum mengikut Seksyen 119 (2) akta sama yang membawa denda maksimum RM2,000 atau penjara maksimum enam bulan jika disabit kesalahan.

Terdahulu, semua tertuduh yang tidak diwakili peguam bela memohon mahkamah meringankan hukuman disebabkan mereka penanggung tunggal keluarga, selain insaf dengan kesalahan dilakukan.

Pendakwaan kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Azlindayanty Mohd Termizi dan Pegawai Pendakwa, Inspektor Hashimah Hashim.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Mei 2016 @ 7:28 AM