ANTARA wanita yang ditahan polis dalam serbuan di premis hiburan di Desa Aman Puri.
Mohamad Azim Fitri Abd Aziz
azimfitri@mediaprima.com.my

Gombak: Berselindung di sebalik karaoke namun menawarkan khidmat pelayan pelanggan (GRO). Itu taktik dikesan sebuah premis hiburan di Desa Aman Puri, di sini, apabila menyalahgunakan lesen hiburan dikeluarkan.

Bagaimanapun, kegiatan maksiat sejak beberapa bulan lalu itu terbongkar selepas sepasukan pegawai dan anggota polis Bahagian Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor menyerbu premis itu.

Serbuan jam 11.45 malam kelmarin diketuai Asisten Superintendan Mohd Uzir Othman berjaya menahan sembilan individu termasuk lapan wanita dipercayai GRO.

Sumber polis berkata, seorang lelaki tempatan dipercayai penjaga premis ditahan bersama tujuh wanita warga Thailand dan seorang warga Vietnam berusia 21 hingga 35 tahun.

“Polis turut merampas enam kalung bunga dan dua mahkota dipercayai dijual kepada pelanggan untuk diberikan kepada GRO yang dilanggan.

“Harga kalung bunga dan mahkota itu dijual serendah RM80 hingga RM500,” katanya.

Sumber memberitahu, pihaknya masih menyiasat sekiranya GRO itu turut menawarkan khidmat seks kepada pelanggan di luar premis.

Katanya, semua individu ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 55B Akta Imigresen kerana menggaji pekerja asing tanpa permit dan peraturan 39(b) Peraturan Imigresen kerana bekerja tanpa permit yang sah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Mei 2016 @ 10:04 AM