ANGGOTA bomba memapah Muhd Amirul yang mengalami kekejangan.
myMetro

Kuala Pilah: Tiga jam adalah tempoh memeritkan dilalui seorang pendaki selepas mengalami kekejangan ketika menuruni Gunung Angsi, di sini, semalam.

Difahamkan, mangsa, Muhd Amirul Shoed, 23, bersama 50 rakannya yang lain dari Belia Simpang Pertang, Jelebu mendaki gunung berkenaan jam 7.30 pagi.

Selepas menikmati pemandangan di puncak gunung, mereka turun jam 11.30 pagi dan lima minit kemudian, kaki kiri Muhd Amirul mula kekejangan.

Rakannya cuba membantu dengan memapah secara bergilir-gilir, namun mereka kepenatan sebelum menghubungi talian kecemasan.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Pilah Ariffin Isa berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 2.17 petang lalu menggerakkan lima anggota dan sebuah jentera ke lokasi.

“Kami mengesan kedudukan mangsa jam 2.42 petang. Anggota kami memapah mangsa sebelum tiba di kaki gunung jam 3.15 petang,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Menurutnya, mangsa dibawa ke Klinik Kesihatan Terachi.

“Turut terbabit dalam operasi ialah Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Kuala Pilah dan renjer hutan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Mei 2016 @ 7:45 AM