KERETA Proton Wira remuk selepas terbabit kemalangan, semalam.
Shamsul Munir Safini
shamsulmunir@hmetro.com.my


Butterworth: “Saya hanya ingat mati.” Itu yang terlintas di benak seorang wanita, selain memikirkan anaknya yang sakit di Kuala Lumpur ketika bas ekspres dua tingkat yang dinaiki bersama dua lagi anaknya terbabit dalam kemalangan di Kilometer 130, Lebuhraya Utara-Selatan, arah Selatan di Sungai Dua, di sini, tengah malam kelmarin.

Kemalangan kira-kira jam 12.15 tengah malam itu membabitkan bas ekspres dua tingkat yang membawa 30 penumpang, lori kontena dan sebuah kereta, namun tiada yang parah atau maut.

Sebaliknya, tiga penumpang bas ekspres dikejarkan ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) selepas mengadu sesak nafas dipercayai akibat serangan jantung selepas kemalangan berkenaan.

Wanita terbabit dikenali sebagai Cah, 49, berkata, dia dan dua anaknya menaiki bas ekspres berkenaan di Guar Cempedak, Kedah dan menuju ke Kuala Lumpur bagi menziarahi anaknya yang sakit di ibu kota.

Menurutnya, dia tidak dapat tidur kerana memikirkan keadaan anaknya yang sakit dan dapat melihat dengan jelas bagaimana pemandu bas dinaikinya cuba mengelak daripada melanggar lori kontena sebelum merempuh pembahagi jalan di sebelah kanan.

Katanya, hanya Tuhan saja yang tahu perasaannya ketika itu selepas menyaksikan sendiri bagaimana bas dinaikinya merempuh pembahagi jalan.

“Ketika kejadian, ramai penumpang tidur, namun saya tidak dapat melelapkan mata kerana memikirkan anak sulung saya terlantar sakit di Kuala Lumpur.

“Tiba-tiba saya terasa bas dibrek secara mengejut sebelum merempuh pembahagi jalan. Ketika itu, saya hanya mengucap panjang sebelum semua kami dibantu keluar dari bas,” katanya yang saban minggu berulang alik ke ibu negara.

Sementara itu, pemandu bas ekspres terbabit, Mohd Affandi Md Rejab, 35, berkata, dia terpaksa menggadai nyawa sendiri dengan menghimpit besi pembahagi jalan yang hanya bersebelahan bahu kanannya supaya tempat duduk penumpang di tingkat atas tidak merempuh belakang lori kontena.

Katanya, sebelum kejadian, dia memandu di laluan memotong lebuh raya tiga lorong berkenaan sebelum ternampak lori kontena tiba-tiba masuk ke lorong dilaluinya.

“Lori berkenaan mengelak daripada merempuh sebuah kereta di hadapannya yang sedang berpusing.

“Saya seperti terperangkap apabila lori menghimpit saya dari kiri dan terpaksa mengelak kereta Proton Wira di hadapan saya,” katanya.

Affandi berkata, dia tiada pilihan selain terpaksa menghimpit ke arah pembahagi jalan sambil menekan brek dan bersyukur bas tidak bertembung dengan lori kontena dan 30 penumpang bas berkenaan selamat.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Mei 2016 @ 7:22 AM