HUSIN bersama penyertaan kreatif untuk Peraduan Mudah Menang HM di Balai Berita, Bangsar.
Nurul Hidayah Bahaudin
nurul.hidayah@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Kegembiraan berganda dirasai seorang guru Bahasa Melayu apabila diumumkan sebagai antara pemenang Peraduan Mudah Menang Harian Metro (HM) Siri 1 Minggu Ketiga ketika dia menyambut hari lahirnya yang ke 54, semalam.

Guru yang berkhidmat di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Ampuan Jemaah, Selangor, Mohd Sakhaf Saad berkata, dia tidak menyangka kemenangan ini jatuh pada tarikh hari jadinya.

“Setiap minggu saya menghantar borang penyertaan sejak peraduan ini dibuka pada awal bulan lalu. Saya sama sekali tidak menyangka bahawa tarikh lahir saya membawa tuah sehingga berjaya menjadi antara pemenang dan membawa pulang wang tunai sebanyak RM500.

“Kemenangan itu menjadikan sambutan hari lahir kali ini sebagai kenangan terindah dalam hidup saya kerana bukan sahaja diraikan oleh keluarga dan sahabat rapat, malah HM turut memberikan hadiah dengan memilih saya sebagai pemenang,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Pemilihan pemenang Peraduan Mudah Menang HM bagi Siri 1 Minggu Ketiga dibuat oleh Pengarang Bersekutu Rencana HM, Husin Jahit.

Selain Mohd Sakhaf, lima lagi pemenang bertuah yang membawa pulang wang tunai sebanyak RM500 adalah Hanita Yaakob dari Pahang; Hambali Mawi (Perak); Zainun Saat (Kelantan); Misyati Mohamad Som (Johor) dan Ismadi Muksim (Perak).

Bagi penyertaan paling kreatif yang mendapat wang tunai RM1,000 pula dimenangi Anuar Taha dari Negeri Sembilan, manakala Nor Huzaimi Norsin dari Johor memenangi empat tiket ke Legoland yang bernilai RM900.

Sementara itu, Husin berkata, sambutan masyarakat terhadap peraduan itu memberangsangkan berikutan peningkatan jumlah penyertaan dan persembahan yang kreatif dipamerkan peserta setiap minggu.

“Kita amat menghargai usaha dan inisiatif peserta yang memaparkan idea kreatif melalui pelbagai gubahan borang penyertaan untuk memenangi peraduan itu pada setiap minggu. Ia sekali gus memberi maklum balas positif masyarakat terhadap peraduan berkenaan.

“Pada masa yang sama, kita menasihatkan peserta agar memperbaiki slogan mereka agar menjadi lebih kreatif dan bertepatan dengan tema yang dibawa HM sempena ulang tahun akhbar itu yang ke 25,” katanya ketika ditemui.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Mei 2016 @ 7:08 AM