Kamalanathan menunjukkan patung nyamuk aedes pada ahli Kelab Doktor Muda Sekolah Kebangsaan Seksyen 7, Shah Alam, semalam.

Shah Alam: Kementerian Pendidikan mempelawa pembabitan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan juga syarikat swasta untuk bekerjasama dengan sekolah bagi memerangi wabak denggi.

Timbalan Menterinya Datuk P Kamalanathan berkata, semua pihak perlu bekerjasama dalam usaha memberikan kesedaran terhadap masyarakat terutama golongan muda dan kempen mengenainya sangat sesuai dijalankan di sekolah.

“Kita sambut baik dan juga alu-alukan kerjasama daripada semua pihak bagi melancarkan lagi kempen seumpama ini seterusnya meningkatkan tahap kesedaran masyarakat terhadap bahaya denggi.

“Setakat ini, 250 sekolah dikenal pasti bagi diadakan kempen Denggi Patrol 2016 dan syarikat penjagaan kesihatan iaitu Sanofi Pasteur berbesar hati untuk menyertai kementerian ini serta Kementerian Kesihatan,” katanya selepas merasmikan Program Denggi Patrol 2016
di Sekolah Kebangsaan (SK) Seksyen 7, di sini, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Mei 2016 @ 7:01 AM