MAHDZIR (tujuh dari kiri) bergambar bersama ketua delegasi pada ASED ke-9.
Nur Lela Zulkipli
nurlela@hmetro.com.my

Petaling Jaya: Mesyuarat Peringkat Menteri-Menteri Pendidikan ASEAN (ASED) kian memainkan peranan penting dalam menjadi pemangkin kelestarian kesejahteraan dan pembangunan modal insan yang kini berada di landasan kukuh dalam sektor pendidikan tinggi menjelang 2020.

Pelbagai program transformasi pendidikan yang sudah dan sedang dilaksanakan anggota ASEAN daripada akar umbi untuk membawa perubahan dalam pendidikan melalui penyebaran ilmu menerusi pembelajaran dan pengajaran (PdP), penyelidikan dan perundingan dalam konteks pembangunan modal insan cemerlang dalam negara dan di peringkat antarabangsa.

Bertepatan dengan tema ASED ke-9 yang berlangsung selama empat hari sejak Isnin lalu iaitu Memupuk Komuniti Pembelajaran ASEAN - Memperkasa Kehidupan Melalui Pendidikan.

Malah, ia disesuaikan mengikut Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 yang diiktiraf Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) sebagai pelan ikon serta penanda aras kepada negara lain dalam bidang pendidikan berkualiti.

Menurut Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid, negara berjaya membuktikan kekuatan akses pendidikan yang diusahakan menerusi Pelan Induk Pendidikan ASEAN 2016-2020 apabila ASED bersetuju untuk melaksanakan pelan berkenaan bagi meningkatkan kualiti pendidikan.

“Pada akhir mesyuarat ASED hari ini (semalam), Malaysia akan menjadi peneraju dalam beberapa program seperti Pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) yang memberi fokus kepada pembangunan kapasiti guru dalam pendidikan program berkenaan selaras PPPM 2013-2025.

“Kita juga bersedia untuk memberi khidmat kepakaran dan berkongsi pengalaman dalam pembangunan pendidikan STEM di peringkat ASEAN di mana sehingga kini Malaysia masih meneruskan jalinan kerjasama dengan Indonesia, Kemboja, Kenya dan Nigeria di bawah Program Dana Amanah Malaysia UNESCO (MFIT),” katanya pada sidang media tamat ASED ke-9, di sini, semalam.

Malaysia yang berperanan sebagai Pengerusi Pendidikan ASEAN 2016 turut menggerakkan kerjasama dengan agensi antarabangsa termasuk Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNICEF) dan Pertubuhan Menteri Pendidikan Asia Tenggara (SEAMEO) selain memantau kerjasama serantau dengan lebih komprehensif.

Mahdzir berkata, Malaysia juga akan mengambil bahagian dalam Program Metriks Pembelajaran Rendah Asia Tenggara (SEA-PLM) dengan kerjasama SEAMEO dan UNICEF dalam melaksanakan kajian SEA-PLM bagi menilai pencapaian pembelajaran murid tahun lima.

“Kajian itu akan menilai kompetensi membaca, menulis, mengira dan kewarganegaraan global selain menjadi pelengkap kepada penilaian Kajian Trend Pendidikan Matematik dan Sains Antarabangsa (TIMSS) dan Program Penilaian Antarabangsa Pelajar (PISA),” katanya.

Selaku Pengerusi ASED ke-9, Mahdzir memberi fokus terhadap Pelan Pendidikan ASEAN sebagai platform serantau yang selari dengan sasaran Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) 2030 yang dipersetujui pada peringkat global bagi Sasaran 4: Kualiti Pendidikan.

Beliau berkata, ia juga selari dengan sasaran Pelan Komuniti ASEAN 2025 dan Pelan Induk Sosio Budaya Komuniti ASEAN 2025 serta PPPM 2013-2025 dan Pelan Pembangunan Pendidikan Tinggi 2015-2025, khusus kepada Malaysia.

“Pembabitan Malaysia dalam ASED kali ini disifatkan sebagai pembuka laluan untuk memantau kerjasama serantau dengan lebih komprehensif di samping menentukan hala tuju ASEAN dengan lebih terperinci berpandukan dokumen Pelan Induk Sosio Budaya Komuniti ASEAN 2025,” katanya.

ASED Ke-9 menumpukan perbincangan mengenai hala tuju pendidikan ASEAN bagi tempoh lima tahun akan datang yang menekankan perbincangan meliputi Pelan Induk Pendidikan ASEAN 2016-2020 merangkumi lapan bidang utama, antaranya pengukuhan kesedaran mengenai ASEAN, keharmonian dan keamanan, mobiliti pelajar pada peringkat pendidikan tinggi, pengukuhan teknologi komunikasi maklumat dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

“Malaysia turut menjadi peneraju aktiviti transformasi dan peningkatan kualiti TVET melalui rangkaian kerjasama, kolaborasi serta memudahkan mobiliti pelajar dan sumber seperti aktiviti latihan industri antara ASEAN, program perantisan, pertukaran pelajar dan penyediaan biasiswa.

“Selain itu, kita menawarkan komitmen penuh dalam melaksanakan enam projek di bawah Pelan Tindakan Pendidikan ASEAN+3 2010-2017 yang meliputi mobiliti pelajar, penyelidikan, kerjasama antara universiti dan industri, jaminan mutu pendidikan tinggi, pembentukan pusat pembelajaran dan pembentukan Indeks Pembangunan Pendidikan ASEAN+3,” katanya,” katanya.

Pencapaian empat deklarasi pada ASED kali ini juga membuktikan usaha membina kapasiti dan membangunkan modal insan tercapai iaitu membabitkan Deklarasi Pengukuhan Pendidikan Kanak-Kanak dan Belia Yang Tidak Bersekolah (OOSC) dan (OOSY), Rangka Kerja Rujukan Kelayakan ASEAN (AQRF) dan Rangkaian Universiti ASEAN (AUN).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Mei 2016 @ 10:21 AM