ANGGOTA bomba mengangkat mayat Mohd Arif.

Chukai: “Biar pun hati saya sedih dengan pemergiannya, tetapi saya bersyukur dia akhirnya ditemui walaupun dalam keadaan tidak bernyawa,” kata Azharuddin Rani, 46, sebaik mayat anaknya yang lemas ketika mandi di Pantai Geliga, dekat sini, ditemui semalam.

Mayat anaknya, Mohd Arif Azaharuddin, 14, ditemui terdampar di tepi pantai oleh pasukan mencari dan menyelamat ketika melakukan rondaan pantai jam 6.50 pagi semalam.

Selain Mohd Arif, seorang lagi mangsa, Amier Syafiq Azahari, 14, turut lemas namun mayatnya ditemui jam 5.50 petang kelmarin.

Kejadian dipercayai berlaku apabila dua mangsa bersama seorang lagi rakan mereka, Alif Mursidi Awang, 14, mandi sebelum semua mangsa dipukul ombak dan lemas.

Bagaimanapun, Alif Mursidi diselamatkan penduduk yang berada berhampiran tempat kejadian sementara dua mangsa lagi tenggelam ke dasar laut.

Azaharuddin yang juga penyelia asrama Sekolah Menengah Kijal Kemaman berterima kasih kepada semua pihak yang membantu sepanjang operasi mencari mayat anaknya.

“Malam tadi, saya tidak dapat melelapkan mata sebab teringatkan arwah. Sepanjang malam, saya tidak dapat tidur dan pagi ini saya bersyukur anak ditemui walaupun dia meninggalkan kami sekeluarga,” katanya.

Menurut Azaharuddin, dia sebelum ini tidak membenarkan anak sulung daripada lima beradik itu mandi di pantai biar pun rumah mereka berhampiran dengan dengan pantai.

“Nak kata macam mana itu sebab semua itu suratan ilahi. Saya terkejut apabila menerima panggilan memaklumkan arwah lemas,” katanya di tempat kejadian.

Azharuddin berkata, pada hari kejadian, arwah ada memaklumkan akan pergi ke sekolah dengan rakannya biar pun sebelum itu dia sering menghantar arwah ke sekolah.

“Itu saja yang pelik sedangkan setiap hari hantar, saya yang menghantarnya ke sekolah, tetapi pada hari kejadian, dia minta saya tidak menghantarnya kerana ingin pergi bersama rakannya,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Zon 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Penguasa Kanan Bomba Azmi Mohd berkata, operasi mencari dan menyelamat dihentikan kira-kira jam 8 pagi sebaik semua mangsa ditemui.

Katanya, jenazah mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut dan dihantar ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk bedah siasat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Mei 2016 @ 7:21 AM